Isnin, 27 September 2010

Gaji

Sudahlah gaji lambat, mesin ATM pula OUT OF SERVICE.

Kerja adalah satu kewajipan bagi yang mereka makan gaji. Pada mereka yang kerja makan gaji, pasti sentiasa ontime apabila datang kerja. Segala tugasan pasti dibuat dengan dedikasi dan mencapai target yang disasarkan. Dan pelbagai cara lagi yang ala-ala mengampu majikan juga lah.. hehe...

Apabila tibanya hari gaji, (pejabat penulis selalunya 25hb) pagi-pagi lagi sudah menyerbu ke kandang harimau (maybank) atau mana-mana mesin ATM yang terdekat. Apabila melihat baki di akuan bank anda, berbaki RM10.oo. Ini bermakna gaji masih tidak masuk lagi. Sudah tentu anda akan marah dan menyumpah-nyumpah. Dan tidak pasal-pasal mesin ATM di tendang pula. Mesin ATM itu tidak apa-apa tetapi kaki anda pula yang sakit he..he..

Ketika itu pula, duit simpanan anda hanya tinggal paras-paras hidung sahaja. Apa perasaan anda? menyumpah? bercakap sorang-sorang? meluahkan perasaan di facebook? marahkan HR atau kutuk majikan? Lagi teruk, ada yang marahkan doktor kerana tidak memberi sijil cuti sakit. Apabila gaji tidak masuk, wang tiada, semangatpun hilang dan malas pula ke pejabat.

Apa-apa pun kita semua kena banyak bersabar. Hendak buat macam mana sudah nasib badan. Sebenarnya, anda masih lagi bernasib baik kerana hanya di bayar gaji lambat, tetapi ada majikan yang tidak membayar gaji pekerja sudah berbulan-bulan lamanya seperti beberapa orang pemain bolasepak kelab/negeri di Liga Malaysia.

Peringatan!, apabila sudah mendapat bayaran/gaji silalah bayar segala pinjaman bank, along, saudara mara dan rakan-rakan. Jangan pergi joli katak, nanti pekerja dan keluarga mereka yang menjadi mangsa!

Oops!... penulis tidak kutuk sesiapa erk!. We human do make mistake... and we learn from it...

Sabtu, 25 September 2010

Hari Raya, Rumah Terbuka dan Makan-makan

Hari ini genaplah dua minggu kita berhari raya. Bermakna masih ada dua minggu lagi kita merayakannya. Hari ini dan esok masih ramai yang akan berkunjung ke rumah saudara-mara dan sahabat-handai. Penulis pula sedang menanti kehadiran ramai anak buah yang tidak berkesempatan berkunjung sejak hari raya pertama lagi.

Jika boleh, penulis hanya minum air kosong jerk...he...he...

Hari ini, jika saudara-mara penulis datang berhari raya, mereka akan berpeluang merasai rendang daging kurang lemak masakan isteri. Rendang ini boleh dimakan dengan nasi impit atau pulut kuning. Isteri penulis memang selalu menyediakan makanan simple untuk tetamu.

Rakan-rakan penulis sedang menikmati kueh raya di rumah e,. Amin Wagiman.

Pastinya hari ini dan esok, ramai yang akan menganjurkan majlis rumah terbuka. Sudah tentu mereka akan mengundang ramai saudara-mara, sahabat dan jiran. Jika ramai tetamu yang diundang, tentulah banyak menu makanan yang akan disediakan. Kebanyakannya menu di sediakan seperti nasi beriani, mi, lontong, sate, soto dan beraneka jenis kuih-muih, buah-buahan dan beraneka jenis air minuman. Pada yang berkemampuan, ada menyediakan daging kambing panggang.

Daging kambing panggang ini bisa membuatkan nafsu dah darah anda naik.

Kesemua makanan yang disediakan sudah tentulah amat enak lagi lazat. Makanan ini membuatkan kita terbuka selera sehingga ada yang buat-buat lupa penyakit yang sedang dihidapi. Apabila menikmati makanan tersebut, kita terlupa atau buat-buat lupa bahawa makanan itu banyak kandungan lemak dan tinggi kadar kolesterolnya.

Meriahnya makanan di atas meja rakan-rakan penulis ni.

Sebenarnya, semua makanan lazat ini boleh dinikmati, rugilah jika kita tidak menikmatinya, apatah lagi di musim perayaan yang raihkan setahun sekali ini. Tetapi, kita mesti bewaspada agar tidak mengikut hawa nafsu. Apabila menikmati hidangan lazat seperti ini, bersederhanalah. Jika berlebihan, boleh membawa mudarat kepada kesihatan kita.

Selalunya menu sate menjadi tumpuan tetamu.

Dan bagi tuan rumah yang menganjurkan majlis rumah terbuka, penulis yakin mereka mahu menyediakan hidangan yang terbaik untuk para tetamu. Ini memang menjadi kebiasaan kerana siapa yang tidak mahu menyediakan hidangan terbaik untuk para tetamu?

Rugilah jika kita tidak menikmati makanan lazat seperti ini.

Penulis sanjung budi baik tuan rumah yang menganjurkan majlis ini dan menyediakan makanan yang enak dan lazat. Banyak makanan enak kadang kala boleh membawa mudarat kepada yang memakannya. Oleh itu, tuan rumah hendaklah menyediakan makanan yang seimbang agar tetamu yang makan tidak membawa mudarat kepada kesihatannya.

Sungguh menyelerakan.

Jika boleh, jangan menyediakan menu makanan hari raya seperti lontong dengan kuah lodehnya yang sangat pekat, sambal tumis yang memang manis dan berminyak, rendang dengan daging yang berlemak. Kita hendaklah menyediakan menu makanan seperti yang banyak sayur-sayurannya seperti yong tau fu, rojak, sup sayur atau pecal. Manakala pencuci mulutnya pula bukanlah kuih-muih yang manis, tetapi cukuplah sekadar buah-buahan tempatan yang segar. Itu baru makanan sihat namanya.... he..he..

Khamis, 23 September 2010

Memori Bara'an

Hari ini, hampir dua minggu kita telah merayakan Hari Raya Aidilfitri. Sempena di bulan Syawal yang mulia ini, penulis hendak menceritakan pengalaman manis mengenai salah satu budaya dalam masyarakat orang-orang kampung di daerah Sabak Bernam, Selangor ketika menyambut Hari Raya Aidifitri. Aktiviti tersebut ialah bara’an (berhari raya dari rumah ke rumah).

Semenjak penulis berumah tangga, jarang sekali penulis berpeluang mengikuti aktiviti bara’an pada hari raya pertama di kampung kelahiran penulis ini. Oleh kerana pada malam raya, isteri penulis masih lagi sibuk menyiapkan tempahan baju raya, kami sekeluarga hanya dapat balik ke kampung pada hari raya kedua atau ketiga. Penulis amat merindui aktiviti setahun sekali seperti baraan ini. Ia amat menyeronokkan sekali. Penulis berharap pada hari raya yang akan datang, penulis dapat menyertai semula aktiviti bara'an ini.... insyallah....

Kenangan rumah pusaka di kampung.

Penulis sendiri tidak tahu istilah bara’an di dalam bahasa melayu, dipanggil apa. Setahu penulis, asal-usul istilah bara’an ini ditutur oleh di kalangan orang-orang Jawa. Tetapi kini, istilah ini telah diguna pakai oleh semua masyarakat di daerah Sabak Bernam, Selangor.

Majlis bara'an bermula selepas sembahyang sunat hari raya.

Tradisi aktiviti bara’an ini ialah budaya kunjung-mengunjung dari sebuah rumah ke rumah yang lain. Biasanya rumah-rumah yang diziarahi itu ialah rumah ahli kariah surau di kampung masing-masing. Jika di kampung Tali Ayer 13, Sungai Besar, Selangor aktiviti bara’an ini dibuat mengikut blok sawah yang telah sedia ada. Setiap tahun aktiviti bara’an ini akan dimulakan selepas solat hari raya sekitar jam 9 pagi sehinggalah ke petang. Ahli-ahli bara’an terdiri daripada penduduk kampung serta anak-anak dan saudara mara mereka yang pulang beraya.

Memori hari raya pada tahun 1989 ketika majlis bara'an.

Tradisi ini sudah lama wujud sejak penulis masih kecil lagi. Sejarah bermulanya aktiviti bara’an di daerah Sabak Bernam ini, tidak pula penulis mengkaji. Sesiapa yang tahu bolehlah share dengan penulis. Walaupun aktiviti bara’an di kampung Tali Ayer 13 ini tidak sehebat bara’an di kampung-kampung jiran. Namun begitu, bagi penulis ini sudah cukup bagi kami merapatkan silaturrahim sesama masyarakat di kampung di kampung Tali Ayer 13 ini.

Penulis dan rakan-rakan sedang menikmat ketupat dan rendang ketika majlis bara'an pada tahun 1989.

Kebiasaannya, setiap rumah akan menyediakan satu menu istimewa bagi setiap rumah disamping kuih raya yang lain. Antara menu special yang menjadi pilihan masyarakat kampung Tali Ayer 13 ini ialah ketupat, rendang, mihun sup, soto, lontong, pecal dan ada juga yang menyediakan nasi ayam. Oleh kerana setiap rumah tidak mengetahui menu istimewa rumah lain, ada ketikanya menu utama tersebut hampir sama bagi setiap rumah.

Kanak-kanak sempat bermain meriam ketika majlis bara'an.

Oleh kerana tradisi aktiviti bara’an ini di jalankan secara berterusan sehingga selesai rumah peserta, keletihan dan kekenyangan menjadikan aktiviti bara’an ini sesuatu yang membebankan bagi sesetengah orang. Bayangkan jika terpaksa berkunjung ke dua puluh buah rumah dalam masa setengah hari sudah tentu perut kita tidak mampu menampung makanan lagi terutamanya apabila tiba pada rumah-rumah yang terkemudian. Buat yang sudah biasa mengikuti bara’an ini, sudah semestinya mengetahui teknik dan taktik menghadapi juadah hari raya dari setiap rumah.

Memori bara'an yang sukar dilupakan. Penulis merindui suasana seperti ini.

Akhir kata, penulis berharap tradisi ini dapat diteruskan oleh generasi seterusnya. Ia dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama masyarakat di kampung Tali Ayer 13, Sungai Besar, Selangor terutamanya jiran-jiran yang berdekatan dengan rumah kita.

Rabu, 22 September 2010

Salam Aidilfitri

Salam Aidilfitri kepada Cdek Sigaraga.

Salam Aidilfitri kepada Shahrudih PKNS.

Salam Aidilfitri kepada Kak Rohaya.

Salam Aidilfitri kepada Norlizah Sabah.

Salam Aidilfitri kepada Nazri Mohd Don.

Salam Aidilfitri kepada Raja Osman.

Salam Aidilfitri kepada Razak Cek Leh.

Salam Aidilfitri kepada Raja Rosmawati.

Salam Aidilfitri kepada Rosnizah.

Salam Aidilfitri kepada Eatikah.

Salam Aidilfitri kepada adik Fenny dan Fauziah.

Salam Aidilfitri kepada Pok Dak.

Selasa, 21 September 2010

Kaum Banjar Di Malaysia

Mukaddimah

Masyarakat Malaysia terkenal kerana sifat majmuknya. Salah satu golongan etnik yang besar ialah kaum Banjar. Seperti golongan etnik lain, kaum Banjar juga merupakan satu golongan yang kompleks dan mempunyai sejarah yang tersendiri di negara ini. Kaum Banjar adalah tergolong dalam rumpun bangsa Melayu, walaupun begitu, tidak banyak yang diketahui tentang masyarakat ini. Keadaan ini agak berbeza dengan kaum Jawa yang lebih dikenali walaupun kedua-dua masyarakat ini mempunyai latar belakang penghijrahan yang hampir sama dan berasal dari negara yang sama iaitu Indonesia

Satu hal yang agak menarik juga, kedua-dua masyarakat tersebut tinggal di kawasan penempatan yang berdekatan di Malaysia, contohnya di daerah Batu Pahat di Johor, daerah Sabak Bernam dan Tanjung Karang di Selangor dan daerah Bagan Datoh di Perak. Sehingga kini, belum ada penulisan yang benar-benar lengkap tentang sejarah kedatangan atau perkembangan masyarakat tersebut di negara ini, walaupun sumbangan mereka dalam bidang sosial, ekonomi dan politik bangsa Melayu khasnya di negara ini secara keseluruhannya tidak kurang pentingnya.

Asal-usul kedatangan orang Banjar ke Tanah Melayu

Kaum Banjar yang datang ke Tanah Melayu adalah berasal dari Kalimantan, Indonesia, di kawasan selatan Basin Barito, terutama sekali dari daerah Banjar Masin, iaitu pusat bandar daerah itu. Kawasan ini adalah terletak di bahagian tenggara Borneo.

Di antara daerah-daerah utama tempat asal kaum Banjar tersebut ialah dari daerah Balangan, Amuntai, Alai, Hamandit, Margasari dan Martapura. Sebahagian dari mereka juga berasal dari Sumatera Tengah di kawasan Bukit Tinggi dan Sepat. Daerah-daerah tersebut merupakan kawasan penanaman padi. Oleh demikian, mereka yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah merupakan petani-petani yang mahir dalam penanaman padi. Disamping itu, pekerjaan khusus seperti melukis, tukang permata dan berniaga juga ditekankan oleh mereka. Pekerjaan inilah yang membezakan mereka dari suku-suku bangsa lain di daerah orang-orang Dayak yang tinggal lebih ke utara barat Banjar Masin. Masyarakat ini juga dikenali dengan kemahiran membuat peralatan dari besi, seperti peralatan pertanian dan senjata. Kebanyakan mereka suka tinggal di lembah beberapa buah sungai seperti di sepanjang lembah Sungai Baritodari Banjar Masin hingga ke Asuntai dan Tanjung di utara.

Tarikh migrasi masyarakat ini ke Tanah Melayu tidak dapat dipastikan, tetapi menurut Afred Bacon Hudson seorang pengkaji kaum Banjar, migrasi ini bermula dalam pertengahan abad ke 19. Penempatan yang awal sekali dapat dikesan ialah di Batu Pahat, Johor. Pada masa itu, mereka sering berulang alik berdagang dan berniaga kelapa kering melalui Siak, Bentan, Inderagiri terus ke Batu Pahat dan Singapura. Selain daripada itu Bagan Datoh di Perak juga dikatakan tempat pertapakan awal masyarakat ini di Tanah Melayu.

Dari Batu Pahat, mereka berpecah ke kawasan lain. Mereka masih lagi manjalankan aktiviti yang serupa seperti bertani, berkebun getah, kelapa dan sebagainya. Pada masa kini, masyarakat Banjar boleh didapati di beberapa kawasan pantai barat, terutamanya di kawasan penanaman padi seperti di daerah Kerian, Sungai Manik dan Bagan Datoh di Perak, Sabak Bernam dan Tanjong Karang di Selangor serta Batu Pahat di Johor. Di Sabah pula, orang Banjar terdapat di Sandakan, Tenom, Keningau dan Tawau. Orang Banjar ini pula terbahagi kepada beberapa puak dan di antara yang terbesar ialah Tanjung dan Kalua dari daerah Balangan, Amuntai dari daerah Amuntai, Barabai dari daerah Alai, Nagara dan Kandangan dari daerah Hamandit, Rantau dari daerah Margasari dan Martapura dari daerah Martapura. Masyarakat ini sering mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan daerah tempat asal-usul mereka di Tanah Banjar.

Selain daripada faktor perdagangan, kemiskinan yang mencengkam kehidupan kaum Banjar di tempat asal mereka juga telah mendorong penghijrahan ke Tanah Melayu. Keadaan mereka di Tanah Banjar agak sukar kerana tanah pertanian mereka sering menghadapi ancaman binatang buas. Faktor ini ditambah lagi dengan kemelaratan yang dihadapi di bawah pemerintahan penjajah Belanda yang terlalu menindas masyarakat tempatan dengan pelbagai cukai dan peraturan yang tidak munasabah. Disamping itu, mereka tertarik dengan kemakmuran kehidupan di Tanah Melayu pada masa itu yang dikhabarkan oleh pedagang-pedagang yang berulang-alik ke Tanah Melayu. Pihak penjajah British di Tanah Melayu pula amat menggalakkan penghijrahan masyarakat dari Indonesia untuk membuka dan mengerjakan kawasan pertanian yang baru kerana masyarakat tersebut amat terkenal dengan sifat tabah dan gigih dalam menghadapi cabaran hidup.

Ciri-ciri awal orang Banjar di Tanah Melayu

Apa yang dimaksudkan dengan ciri-ciri awal ini ialah sosio-budaya orang Banjar pada tahap awal pertapakan mereka di tanah Melayu iaitu sekitar pertengahan abad ke-19 sehingga pertengahan abad yang ke-20.Terdapat ciri-ciri yang dominan dan ketara pada masyarakat ini yang membezakannya dengan masyarakat Melayu tempatan pada masa itu. Di antara ciri-ciri awal yang dapat diperhatikan dalam masyarakat ini pada masa itu ialah, fahaman kesukuan, teguh pegangan agama dan carahidup sederhana, berani dan panas baran.

Fahaman kesukuan

Perkara ini adalah berkait rapat dengan keadaan mereka yang baru berhijrah dari Tanah Banjar ke Tanah Melayu yang masih asing bagi mereka. Jadi, bagi memastikan kebajikan mereka terjaga, mereka sentiasa tinggal dalam satu kelompok. Salah satu ciri terpenting wujud pada masyarakat tersebut pada masa itu ialah mendalamnya fahaman kesukuan. Bagi mereka, orang-orang selain dari suku mereka dianggap sebagai ‘orang luar’. Keadaan ini telah mempengaruhi pergaulan, perkembangan pemikiran dan seterusnya keperibadian mereka. Faham kesukuan ini juga telah menjadikan masyarakat ini pada masa itu sebagai sebuah masyarakat tertutup. Jarang-jarang benar berlaku perkahwinan di luar suku Banjar. Justeru itu, faktor ini telah dapat mengekalkan beberapa ciri-ciri keperibadian yang tersendiri masyarakatini. Contoh yang nyata ialah pengekalan bahasa pertuturan sehari-hari iaitu dialek Banjar dan kawasan tempat tinggal yang berkelompok.

Teguh pegangan agama dan cara hidup sederhana

Kebanyakan orang Banjar yang berhijrah ke Tanah Melayu adalah terdiri daripada mereka yang kuat pegangan agama Islam dan mengamalkan cara hidup yang sederhana. Maka, tidak hairanlah bahawa masyarakat ini amat condong terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Keadaan ini ditambah lagi dengan corak pekerjaan mereka yang berbentuk pertanian dan lokasi petempataan mereka yang agak terpencil daripada bandar, telah menyebabkan peluang untuk mereka mengikuti kemudahan-kemudahan seperti pelajaran, kesihatan, dan lain-lain amat terhad. Perkembangan pendidikan secara formal yang wujud dalam masyarakat ini hanyalah berupa kelas membaca al-Quran, mempelajari hal-ehwal syariat Islam sama ada di sekolah-sekolah agama rakyat mahupun di madrasah-madrasah. Bagi golongan yang berkemampuan pula, mereka menghantarkan anak-anak mereka ke sekolah-sekolah arab mahupun pondok-pondok di tempat lain.

Bagi yang lebih berkemampuan, mereka juga turut menghantar anak-anak mereka ke Tanah Suci Mekah untuk mendalami ilmu agama. Amat kurang sekali yang menghantar anak-anak mereka ke sekolah-sekolah kerajaan mahupun ke sekolah Melayu kerana mereka berpendapat mata pelajaran yang di ajar tidak sesuai dan semata-mata hal-ehwal duniawi sahaja. Begitu juga dengan sekolah-sekolah Inggeris mereka khuatir anak-anak mereka akan terpengaruh dengan dakyah Kristian jika menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah tersebut. Walaupun pada umumnya, fahaman sebegini wujud dikalangan masyarakat Melayu yang lain, tetapi keadaan yang wujud dikalangan orang Banjar amat ketara sekali.

Sebagai buktinya, sehingga awal tahun-tahun 60an, amat kurang sekali pegawai-pegawai kerajaan mahupun kakitangan yang berketurunan Banjar. Kalau pun ada, hanya pegawai-pegawai agama atau guru-guru agama. Ringkasnya mereka lebih berminat untuk bergiat dalam bidang-bidang yang bersangkutan dengan hal-ehwal agama Islam sahaja. Kesan lain yang dapat diperhatikan dan masih kekal sehingga kini ialah terdapatnya dengan banyak sekali sekolah-sekolah agama rakyat, madrasah mahupun pondok-pondok dikawasan-kawasan yang majoriti penduduknya orang Banjar seperti di daerah Kerian, Perak mahupun di daerah Sabak Bernam, Selangor.

Keadaan kehidupan mereka juga amat sederhana, rumah mereka dikatakan kosong kerana tidak mempunyai alat-alat perabut seperti kerusi, meja dan almari. Peralatan yang ada seperti tikar mengkuang yang dibentangkan ketika tetamu datang dan lain-lain perkakas yang mustahak sahaja.

Satu hal yang agak menarik juga ialah, masyarakat ini tidak suka bekerja makan gaji dengan kerajaan kerana mereka lebih suka bekerja sendiri khasnya dalam bidang pertanian. Perkara ini juga berkait dengan kebebasan untuk mereka membuat perkara-perkara sampingan khasnya untuk mendalami ilmu-ilmu keagamaan. Pekerjaan bertani khasnya penanaman padi mempunyai ruang masa yang banyak dan bebas untuk merekamelakukan perkara-perkara tersebut seperti ketika menunggu musim menuai dan seumpamanya. Kedudukan seseorang yang tinggi ilmu agama juga amat dihormati dan mendapat tempat yang istimewa di kalanganorang Banjar.

Nilai yang diberikan ke atas seseorang individu dalam masyarakat ini adalah berdasarkan keahliannya dalam ilmu-ilmu agama Islam. Nilai-nilai seperti ini menjadikan masyarakat ini begitu kuat dan taat berpegang kepada ajaran Islam dan kepada kepimpinan yang ahli dalam bidang agama Islam. Perkara ini jelas dilihat daripada kemenangan calon parti yang menjadikan Islam sebagai dasar perjuangan pada Pemilihan Umum Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955 Kawasan Kerian, Perak yang telah diketahui majoriti daripada penduduknya terdiri daripada orang Banjar. Beliau yang dimaksudkan ialah Tuan Guru Haji Ahmad Haji Hussein, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad al Banjari, seorang tokoh ulama besar berasal dari Tanah Banjar, Kalimantan Selatan, Indonesia.

Berani dan pemanas

Salah satu sifat yang agak ketara terdapat dalam masyarakat Banjar ialah bersifat berani dan pemanas. Masyarakat ini pantang dicabar dan bersifat panas baran. Penggunaan senjata seperti pisau (biasanya disebu lading), parang panjang atau badik (sejenis pisau juga), tidak asing lagi bagi mereka terutama ketika berlaku pergaduhan. Dipercayai juga setiap keluarga orang Banjar pasti menyimpan sebilah parang panjang di rumah masing-masing untuk menjaga keselamatan mereka. Orang Banjar sering dianggap sebagai masyarakat yang gemar bergaduh oleh masyarakat lain. Sebenarnya, sifat ini telah timbul secara turun temurun semenjak mereka menetap di Tanah Banjar lagi.

Keadaan alam sekeliling di Tanah Banjar yang penuh dengan hutan belukar dan binatang buas menjadikan mereka sentiasa berhadapan dengan cabaran dan halangan dalam meneruskan kehidupan mereka. Orang-orang yang berniaga pula sering berhadapan dengan lanun dan perompak memerlukan mereka sentiasa bertenaga dan bersedia untuk bertarung dengan pihak musuh. Perkara ini juga telah menyebabkan mereka suka menuntut ilmu-ilmu persilatan daripada pendekar-pendekar tempatan mahupun luar. Keadaan ini terbawa-bawa dan akhirnya telah menjadi sifat dan perangai mereka sehingga sekarang walaupun semakin berkurangan. Ciri-ciri ini jugalah yang sebenarnya menjadi penyebab kepada pergaduhan yang telah timbul di kawasan petempatan orang Banjar seperti di Sungai Manik, Teluk Intan, Perak pada tahun 1940an dan 1960an mahupun di Batu Pahat, Johor pada 13 Mei 1969, atas gabungan sifat mereka yang kuat peganganagama dan berani serta pemanas.

Orang Banjar kini

Kini, orang Banjar di Malaysia sebagaimana masyarakat-masyarakat penghijrah dari Indonesia yang lain seperti orang Jawa, Bugis, Mendailing, Rawa, Kerinchi, Batak, Minangkabau dan lain-lain lagi, telah mengalami arus perubahan yang pesat seiring dengan kepesatan pembangunan di negara ini sendiri. Proses asimilasi yang berlaku ke atas masyarakat ini amat ketara terutama apabila mereka sudah tidak tinggal lagi bersama-sama dalam kelompok mereka mahupun apabila berlakunya perkahwinan campur. Program pendidikan di negara ini juga sedikit sebanyak telah mengasimilasikan masyarakat ini ke dalam masyarakat Melayu tempatan. Generasi muda masyarakat ini sudah agak kurang mahupun tidak tahu atau malu untuk bertutur dalam bahasa Banjar walaupun ketika berbicara sesama mereka.

Sifat mereka yang suka merantau masih membara dijiwa mereka. Buktinya, apabila adanya pembukaan tanah-tanah rancangan sama ada oleh FELDA mahupun FELCRA, mereka akan memberikan sambutan yang menggalakkan untuk menjadi peserta. Kini, orang Banjar juga banyak didapati di kawasan-kawasan tanah rancangan contohnya di negeri Pahang.

Di petempatan yang majoritinya adalah terdiri daripada masyarakat Banjar, Perpaduan mereka masih erat dan mereka masih terus memelihara dan menggunakan bahasa Banjar dalam pertuturan harian. Namun, dari segi pengamalaan adat resam dan organisasi sosial orang Banjar serta prasangkanya terhadap orang bukan Banjar sudah agak berkurangan dan mungkin sudah tiada lagi.

Sikap mereka terhadap pendidikan juga telah jauh berubah di mana anak-anak mereka juga telah berjaya melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading dan menjawat jawatan-jawatan yang tinggi di sektor awam mahupun swasta. Namun begitu, pendidikan agama masih tetap menjadi pilihan utama kebanyakan dari mereka dan buktinya dapat di perhatikan daripada ramainya anak-anak masyarakat ini yang mempunyai kelulusan agama yang tinggi terutama orang Banjar dari daerah Kerian, Perak dan daerah Sabak Bernam di Selangor.

Sumber: Shahril B. Asnawi

Rabu, 8 September 2010

Salam Aidilfitri

Menjelang Syawal yang bakal kunjung tiba, hanya tinggal satu atau dua hari sahaja lagi Ramadhan berada dipenghujungnya. Pastinya sekarang ini ramai yang sedang sibuk menyiapkan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Suasana pastinya dikuasai mood raya. Raya, rayalah juga tetapi janganlah disebabkan keletihan membuat segala persiapan untuk berhari raya, ibadah puasa pula diabaikan.


Pada yang memandu untuk pulang ke kampung, berhati-hatilah ketika memandu. Jika letih dan mengantuk berhentilah untuk berehat. Memandulah secara berhemah dan secara selamat. Jangan disebabkan hendak cepat sampai nyawa melayang. Ingatlah orang yang tersayang, cuba bayangkan ayah dan ibu sedang menunggu kepulangan anak kesayangan mereka di kampung dengan hati yang gembira tetapi tetiba sahaja mendapat panggilan yang menyentap jiwa bahawa anak mereka telah tiada. Semestinya menjadi hari raya yang sangat tragis.

Sabtu, 4 September 2010

Kad Raya

Di pejabat penulis sekarang ini telah mula dengan suasana hari raya Aidilfitri. Antara kemestiannya ialah berkumandangnya lagu-lagu hari raya dari speaker komputer masing-masing dan menggantung kad hari raya. Apabila bercerita tentang kad hari raya, penulis telahpun menghantar kad hari raya kepada saudara mara dan rakan-rakan yang terdekat.

Kad raya dari Unit Kamera yang dihasil saudara Aye Jemz.

Sepatutnya penulis merancang untuk menempah kad raya tersebut tetapi disebabkan kesibukan, dan konon-kononnya hendak membuat sendiri. Memang buat sendiripun he... he... . Penulis akui memang hasilnya tidak seberapa. Penulis memohon maaf kepada penerima sekiranya kad raya tersebut tidak memenuhi citarasa dan tidak berkualiti.

Kad raya dari Unit Majalah. Sungguh kreatif yang dihasilkan oleh saudara Anjang.

Memang diakui kad raya agak kurang digunakan berbanding e-kad raya yang sungguh menjimatkan dan lebih canggih. Tetapi kad raya ini ada nilai sentimentalnya. Memang terasa dan lebih bermakna jika mendapat balasan kad raya daripada rakan-rakan. Malahan rakan penulis seperti kartunis terkenal iaitu en. Wahidi pun sudi mengirimkan kad raya bagi meneruskan tradisi lama ni.

Namun ada juga rakan-rakan penulis yang tidak membalasnya. Tetapi penulis tidak kecewa. Janji hati penulis terasa puas kerana telah berjaya menghantar kad raya kepada rakan-rakan.

Kad raya yang dihasilkan oleh penulis sendiri.

Bagaimana dengan anda semua? Ada menghantar kad raya kepada saudara mara dan rakan-rakan?. Penulis pasti, anda semua sudah berbakul terima kad raya...hehe

Khamis, 2 September 2010

Menghadiri Taklimat di Bulan Ramadhan

Seramai lapan orang designer di pejabat penulis telah menghadiri Taklimat Penerbitan B. Teks KBSM di bilik masyuarat Kementerian Pelajaran, Puterajaya semalam. Oleh kerana taklimat ini diadakan di bulan Ramadhan, maka kebanyakan para peserta kelihatan lesu, mengantuk dan keletihan. Walaubagaimanapun taklimat ini berjalan dengan lancar seperti yang dirancangkan di dalam jadual.

Di bawah ini ada beberapa keping foto yang sempat penulis rakamkan:

Suasana taklimat.

Apa itu buku teks?

Kelihatan letih, lesu dan mengantuk?

Para designer yang berpengalaman. Lihat rambutpun sudah tahu.

Suasana taklimat.

Puan Rohaya seperti ahli perlimen di Dewan Rakyat pula.

Designer Tok Deanz sedang mendengar taklimat.

Designer dan editor sedang mendengar taklimat.

Designer Tilano kelihatan mengantuk kerana malam tidak dapat tidur.

Suasana di bilik masyuarat.

Waktu rehat kami hanya duduk di lobi sahaja.

Perbincangan antara editor dan ahli panel.

Berakhirnya taklimat ini, maka kamipun akan mendapat tugasan baru dan selepas raya ini kami akan kembali sibuk mengejar dateline semula. Nampaknya kesemua designer kelihatan tenang cuma yang sedikit merisaukan kami jika fail asal buku yang akan kami tangani ini, hilang!

Rabu, 1 September 2010

Happy Birthday to you my wife

SYUKUR ALHAMDULILLAH, selepas waktu berbuka pada 31hb Ogos semalam, kami tiga beranak telah selamat mengadakan Majlis Hari Jadi isteriku yang ke...

Happy Birthday to you my wife ~ Noor Fauziah

Kek hari jadi isteri pada tahun ini.

Majlis yang diadakan begitu sederhana, namun meriah, ini kerana pada permulaanya, kami merancang untuk mengadakan birthday party itu bersama ahli keluarga yang terdekat tetapi memandangkan majlis ini jatuhnya di bulan Ramadhan, maka majlis ini hanya untuk kami tiga beranak sahaja. Alhamdulillah, segala perancangan yang diaturnya, berjalan dengan lancar.

Isteri penulis sedang memotong kek.

Isteri penulis begitu ceria sekali kerana suasananya yang cukup sederhana tetapi sangat meriah, oleh kami anak beranak yang menyanyikan lagu "Happy Birthday to you". Sambutan hari jadi isteri tahun ini sungguh bermakna kerana disambut pada bulan Ramadhan dan serentak dengan Hari Kemerdekaan negara kita, Malaysia yang ke 53. Ini bermakna isteri penulis digelar " Anak Merdeka"... he..he..

Anak dan isteri sedang memotong kek.

Walaupun isteri penulis kelihatan begitu gembira sekali tetapi penulis dapat rasakan bahawa beliau terasa sedih kerana mengenangkan arwah kedua ibu-bapanya yang telah tiada.