Jumaat, 29 November 2013

Pekena Rojak Sotong Bellamy?

Semalam, penulis menghantar bahan PMS buku teks ke editor di DBP. Entah kenapa secara tiba-tiba penulis teringatkan Rojak Sotong. Semasa bertugas di sini dahulu, tidak teringin pula hendak makan rojak. Setahu penulis, ada beberapa tempat yang menjual rojak yang sedap di sekitar Kuala Lumpur ini. Diantaranya ialah Warung di Jalan Bellamy, Jalan Maarof dan Jalan Pasar.
Menghala ke Jalan Bellamy.
Oleh kerana penulis teringin sangat hendak menikmati Rojak Sotong, penulispun ke Jalan Bellamy di dalam kawasan pasaraya PERNAMA, berhampiran dengan Istana Negara dan Gerai Ikan Bakar. Lagipun hanya warung ini sahaja yang paling hampir dengan DBP. Tidak terlalu sukar hendak mencari lokasi warung ini. Anda hanya perlu menaip Jalan Bellamy ke dalam Waze atau GPS sahaja.
Gerai Rojak ini terletak di dalam kawasan Pasaraya Pernama.
Kawasan warung tersebut bersih dan suasana yang selesa, dengan ruang makannya yang agak luas. Pesanan diambil dengan cepat dan dihantar dengan tepat. Pilihan menu pula banyak pilihan dan sederhana murah memandangkan lokasinya di tengah-tengah kota metropolitan ini.
Ramai pelanggan di waktu puncak.
Mamak ini sudah lama berniaga di sini. Katanya sejak dari tahun 70an lagi. Rojaknya menjadi tumpuan orang ramai kerana rasanya yang sedap. Rojak ini menjadi sedap kerana dilengkapi dengan ramuan seperti Cucur Udang, Tauhu, Taugeh, Telur Rebus, Senkuang dan Timun. Tetapi, bahan utama yang menjadi tarikan orang ramai ialah kuahnya.
Gerai Rojak yang bersih dan selesa.
Tetapi, penulis syorkan anda untuk memesan Rojak Sotong yang hanya berharga RM5.00 sahaja. Agak murah bukan? Biasanya, penentu kesedapan rojak adalah pada kuahnya. Kuah rojak di Jalan Bellamy ini sangat sedap, terasa pedas dan sedikit manis ditambah dengan sambal sotong menambahkan lagi keenakkan lagi kuahnya..
Sabar menanti pesanan Rojak Sotong.
Satu lagi keistimewaan di warung ini adalah waktu perniagaan tujuh hari seminggu. Dari jam 7.00 pagi hingga 5.30 petang bagi hari Isnin hingga Sabtu, manakala Ahad dibuka dari jam 7.00 pagi hingga 3.00 petang.
Rojak Sotong yang dinanti sudah tiba.
Jika sesiapa yang berurusan di DBP atau berada di kawasan sekitarnya jangan lupa singgahlah ke warung rojak ini. Penulis percaya, anda tidak akan menyesal.

Selasa, 26 November 2013

Pekena Mee Rebus Stail Penang?

Tadi, penulis ada urusan di Pos Malaysia, Taman Melawati. Entah kenapa secara tiba-tiba penulis teringatkan Mee Rebus. Ada dua tempat yang menjual Mee Rebus yang sedap di kawasan ini. Antaranya ialah Gerai Hamid Mee Rebus Penang.
Gerai Medan Selera MPAJ di Taman Melawati.
Oleh kerana penulis teringin sangat hendak makan Mee Rebus stail Penang. penulis pun ke gerai Hamid di Medan Selera Taman Melawati yang terletak bersebelah dengan tapak pasar malam Taman Melawati dan berhampiran dengan pejabat Jabatan Pendaftan Negara dan kedai 7 Eleven di taman melawati.
Gerai Hamid Mee Rebus Penang.
Difahamkan mamak ini sudah lama berniaga Mee Rebus di sini. Mee Rebus ala Pulau Pinang nya menjadi tumpuan orang ramai kerana rasanya yang sedap. Mee rebus ini menjadi sedap kerana dilengkapi dengan ramuan seperti mee kuning, taugeh, telur rebus, kentang rebus, kueh, bawang goreng dan cili hijau. Tetapi bahan utama yang menjadi tarikan orang ramai ialah kuahnya.
Antara menu masakkan ala Penang yang disediakan.
Gerai ini yang dimiliki oleh keluarga mamak yang berasal dari Pulau Pinang ini menyediakan menu Mee Rebus antara yang tersedap di Lembah Keramat atau Hulu Kelang ini. Selain Mee Rebus, gerai ini ada juga menyediakan Mee Goreng, Kueh Tiew, Pasembor / rojak dan Mee Rojak yang mana kesemuanya dimasak mengikut stail Pulau Pinang asli.
Mee Rebus Penang.
Gerai ini hanya menyediakan makanan ala mamak yang berasal dari Pulau Pinang sahaja. Tetapi, anda tidak perlu risau jika hendak makan masakkan lain selain mamak, kerana ada banyak lagi gerai lain yang menyediakan pelbagai jenis makanan seperti nasi Briyani Johor, Selera Kelate, Nasi Ayam, Nasi Campur, Nasi Hainan dan ikan bakar di medan selera ini.
Kelazatannya hingga melicinkan pinggan.
Jika sesiapa yang hendak membeli belah dan ada urusan di Taman Melawati jangan lupa singgahlah ke gerai Mee Rebus Hamid ini. Penulis percaya, anda tidak akan menyesal.

Jumaat, 22 November 2013

Pekena Nasi Kukus Ayam Dara Berempah!

Kali ini penulis masih bercerita tentang makanan. Tetapi, ini bukan bermakna blog picisan penulis akan menjadi blog berkisarkan tentang makanan sahaja. Tidak sama sekali. Ia masih blog penulis seperti dulu...
Lori Gerai Nasi Kukus Ayam Dara Berempah Haikal.
Anda pernah terdengar Nasi Kukus Ayam Dara Berempah? Setahu penulis makanan ini memang popular di negeri-negeri pantai timur. Penulis memang tidak pernah makan tetapi disebabkan rakan sepejabat ramai yang berasal dari pantai timur, baharu penulis tahu tentang makanan ini.
Banner di gerai.
Sekali cuba, memang hendak lagi. Cuma, menurut kata rakan-rakan, jika hendak makan Nasi Kukus Ayam Dara Berempah yang lagi sedap, kenalah pergi ke Pantai Timur!. Alamak! jauhnya. Tetapi, tidak mengapa, masih banyak gerai atau restoran yang menjual Nasi Kukus Ayam Dara Berempah di pantai barat ini terutama di Selangor atau Kuala Lumpur .
Ayam Dara Berempah panas punya.
Baru-baru ini, penulis terjumpa satu gerai yang menjual Nasi Kukus Ayam Dara Berempah ini di Taman Samudera, Batu Caves. Pada masa itu, secara tidak sengaja penulis tersinggah ke gerai tersebut dan terus terpikat. Sejak hari itu, setiap kali ada urusan Batu Caves atau Gombak, penulis akan singgah ke gerai ini untuk menikmati keenakan Nasi Kukus Ayam Dara Berempahnya.
Antara pelanggan yang membeli nasi kukus.
Nasi Kukus Ayam Dara Berempah ini terdiri dari nasi yang dikukus, sambal hijau, kuah kari, timun dan ayam kampung goreng berempah. Gabungan ramuan istimewa ini membuatkan nasi kukus ini menjadikan sedap. Ramai yang tertanya-tanya “bagaimana hendak tahu ayam itu masih dara atau tidak?” Penulis sendiri pun tidak tahu sebabnya kerana tidak pernah belajar tentang bagaimana cara hendak check ke’dara’an ayam tersebut... Hehehe. Jika hendak tahu juga, kena cari di Google ataupun tanya kepada yang pakar ayam.
Nasi Kukus Ayam Dara Berempah.
Anyway, memang puas hati makan di sini kerana nasi kukusnya banyak dan ayamnya pula besar. Harga tidak terlalu mahal hanya RM5.30 sepinggan/sebungkus. Sangat berbaloi dan... memang puas hati apabila meratah ayam ini kerana terasa rempah ratusnya. Jika yang berasal dari neger-negeri pantai timur yang merindui Nasi Kukus Ayam Dara berempah bolehlah berkunjung ke gerai di Batu Caves.
Selain Nasi Kukus Ayam Dara Berempah, gerai ini juga ada Nasi Campur dan Nasi Kerabu.
Sebenarnya penulis ke Taman Samudera ini hendak mencari Nasi Kukus Ayam Dara Berempah di Restoran Wafie. Rakan-rakan di pejabat cadangkan makan nasi kukus di restoran tersebut sedap. Malangnya, puas penulis mencari di sekitar taman ini namun masih tidak terjumpa restoran ini. Yang terjumpa hanyalah gerai Nasi Kukus Ayam Dara Berempah Haikal ini sahaja. Tetapi, tidak mengapalah Nasi Kukus di gerai ini pun sedap juga. Mungkin belum ada rezeki hendak makan Nasi Kukus Ayam Dara di Restoran Wafie lagi.

Khamis, 21 November 2013

Warung Tepi Jalan

Selalunya, jika hendak mencari tempat makan yang sedap dan terkenal, paling cikai pun sudah tentulah di restoran. Tetapi, untuk mencari makanan yang sedap tidak semestinya berada di hotel, cafe atau pun restoran tetapi warung di tepi jalan pun banyak yang menyediakan makanan sedap lagi menyelerakan.
Warung tepi jalan di AU5, Lembah Keramat.
Penulis sudah lama teringin menikmati ayam panggang yang sedap tetapi murah, tetapi tidak terjumpa tempat makan yang yang paling hampir dengan pejabat penulis. Tetapi, baru baru ini penulis ternampak sebuah warung tepi jalan di AU5. Penulispun singgah dan cuba makan tengahari di situ. Maka, tercapai juga hasrat merasai ayam panggang di warung yang berhampiran dengan pejabat penulis...
Ayam panggangnya memang terbaik!
Tidak menunggu lama menanti ayam panggangnya masak. Jika menunggupun, tidaklah sehingga perut penulis berbunyi. Ayamnya dipanggang secara live oleh anak dara pemilik warung tersebut. Apabila dapat menikmati ayam panggang yang masih panas, pastinya terasa puas hati sangat. Bagi penulis ayamnya memang sedap dan terbaik. Bersaiz sederhana, tidak kecil dan tidak besar tetapi sangat memuaskan.
Anak tauke warung sedang memanggang ayam.
Gambar ini bagi view dekat sedikit, bagi anda semua terliur hihi. Ayam panggang yang penulis order memang terbaik dan terasa rempah ratusnya. Ayam panggangnya yang dibakar dengan sempurna. Sungguh enak dengan harga yang berpatutan. Memang sesuai untuk menjamu selera ketika dipertengahan bulan atau sementara menunggu gaji yang lambat keluar. Makan di sini agak menjimatkan... hehehe...
Walaupun lauk pauknya tidak banyak pilihan tetapi menyelerakan.
Selain ayam panggang, warung ini juga menyediakan pelbagai jenis lauk pauk ala kampung seperti Kari Ayam, Ikan Patin Masak Tempoyak, Ikan Cencaru Masak Sambal dan beberapa jenis sayur atau ulam-ulaman. Walaupun lauk pauknya tidak banyak pilihan, tetapi dengan merasai ayam panggangnya sudah cukup menyelerakan. Tambah-tambah lagi dicecah pula dengan sambal belacan. Itu sudah cukup membuatkan perut penulis terasa kenyang...
Penulis hanya makan ayam kari dan ayam panggang.
Jika anda melalui lebuhraya MRR2 dari Kuala Lumpur, apabila berhampiran dengan Zoo Negara dan anda jalan terus. Dalam jarak 200 meter, cuba pandang kiri dan anda akan ternampak pasaraya Giant Taman Permata, sila masuk ke simpang besar hendak ke pasaraya Giant tersebut. Dari simpang tersebut, jalan terus sehingga terjumpa dengan stesen minyak. Warung ini hanya bersebelahan dengan stesen minyak Petronas dan loji kumbahan Indah Water.

Rabu, 20 November 2013

Gerai Kuih D'Liza AU3

Semasa penulis bertugas di Bahagian Buku Sekolah, DBP dahulu, penulis selalu dapat makan kuih secara percuma. Pihak DBP sering mengadakan masyuarat atau bengkel di bahagian ini kerana ada banyak bilik masyuarat di dalamnya. Apabila selesai mereka bermasyuarat atau berbengkel, selalunya  masih banyak makanan atau kuih muih berlebihan. Untuk mengelakkan pembaziran, kamilah yang akan mengabiskannya.
Makanan yang berlebihan selepas masyuarat.
Kini, kami bertugas di Hulu Kelang. Kadang-kadang kami rindukan air Teh O panas dan kuih muih tradisional yang selalu kami nikmati di DBP dahulu. JIka ada dikalangan kami yang teringin sangat hendak makan kuih, kami terpaksa keluar dari pejabat untuk mencari kuih muih tersebut. Kami masih bernasib baik kerana ada banyak gerai kuih-muih di sekitar Lembah Keramat dan Hulu Kelang ini. Dalam banyak-banyak gerai tersebut, hanya Gerai Kuih D’Liza inilah menjadi tumpuan utama kami.
Gerai kuuih D'Liza di AU3.
Sebut sahaja gerai kuih D’Liza di AU3 Taman Keramat, pasti ramai yang teringatkan kelazatan kuih-muih tradisi melayu seperti Pisang Goreng, Ubi Getok, Keria, Donat, Popiah, Kuih Lopes, Cekodok Pisang, Bujang Lapok, Wadeh, Karipap, Lompat Tikam dan sebagainya.
Bermacam-macam jenis kuih muih ada.
Gerai kuih D’Liza yang terletak di AU3 ini bukan sahaja popular dikalangan penduduk setempat di AU3 sahaja, malah turut dikenali oleh dari kalangan pekerja-pekerja perindusrian, kakitangam kerajaan atau swasta dan pelajar-pelajar sekolah di sekitar Keramat dan Hulu Kelang.
Kesemua kuih nampak sedap.
Gerai kuih ini dibuka pada setiap hari dan amat popular dengan kuih Ubi Getok, Pisang Goreng, Keledek Goreng dan Kuih Lopesnya. Gerai ini dibuka seawal jam 12 tengahari sehingga 7 petang, gerai kuih ini bukan sahaja bersih malah menawarkan kuih-muih tradisional melayu dan lain-lain dengan harga yang sangat berpatutan. 
Karipap ini macam sedap jer....
Bagi anda kebetulan berada di sekitar Lembah Keramat dan teringin menikmati kuih-muih untuk minum petang di rumah atau di pejabat, jangan lupa untuk singgah ke gerai ini. Anda mesti akan membeli dan mencuba sendiri kelazatan Ubi Getok, Kuih Lopes, Karipap, Cengkodok dan pelbagai jenis kuih lagi. Selain itu juga mereka ada menjual Mee Goreng bungkus dan Mee Hoon goreng bungkus!
Selain kuih muih, mee goreng bungkus pun ada.
Sambil membeli, penulis sempat merakamkan pelbagai jenis kuih-muih di gerai ini. Tiba-tiba penulis teringatkan kembali di zaman semasa tinggal asrama sekolah dahulu. Ketika itu penulis dan rakan-rakan dibenarkan beramai-ramai keluar bandar di Kelang setiap hari Sabtu. Di bandar Kelang, selain shopping keperluan harian di pasaraya GreatWall, kami sempat memborong pelbagai jenis kuih muih untuk makan beramai-ramai di asrama. Penulis dapati ramai pelajar sekolah membeli kuih-muih yang dijual di gerai ini.
Kuih Lompat Tikam.
Kalau ikutkan hati, memang hendak beli kesemua kuih-muih ini. Kesemua kuih muih ini nampaknya sedap. Jika beli banyak-banyak, nanti tiada siapa yang hendak makan pula. Sebelum rambang mata, lebih baik penulis cabut dahulu... hehehe.... Rakan-rakan di pejabat sedang menunggu tu... Mereka sedang menanti kuih untuk minum petang....

Selasa, 19 November 2013

Ngeteh di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang

Hari Sabtu lalu, penulis ada perjumpaan dengan rakan rakan sekelas semasa menuntut di SMV Kelang dahulu. Pada awalnya kami hanya merancang hendak berjumpa di cafe Masjid Negeri, Shah Alam sahaja. Tetapi, terpaksa dibatalkan kerana ramai yang tidak bersetuju. Akhirnya, kami bersepakat berjumpa di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang, Seksyen 7, Shah Alam. Ada dikalangan kami yang benar-benar mengidam nasi lemak ....hehehe....
Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang, Shah Alam.
Pekena Otak-otak dahulu, baharu makan nasi lemak.
Lokasinya di Seksyen 7 Shah Alam. Restoran ini berada di deretan bangunan kedai yang terletak di belakang restoran KFC iaitu di hadapan pintu belakang UiTM. Apabila masuk simpang pertama dan terus sahaja. Restoran ini terletak di tepi sekali dan blok kedai yang kedua terakhir. Dari jauh, kami sudah ternampak restoran tersebut. Menurut rakan penulis, restoran ini agak popular di Shah Alam dan sentiasa dikunjungi ramai.
Meriah sesekali dapat berjumpa rakan-rakan lama.
Bermacam-macam jenis lauk ada.
Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Ramai dikalangan rakan penulis memang suka makan nasi lemak kerana menunya yang ringkas dan mudah disediakan. Jadi, kami tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Lagi pun, di area Shah Alam ini, dari malam hingga ke subuh pun orang masih mencari nasi lemak.
Lauk pauknya banyak pilihan.
Antara lauk pauk nasi lemak.
Kebanyakkan dikalangan kami memang gemar makan nasi lemak di restoran ini kerana rasanya yang enak dan lemak selain sambal tumisnya yang istimewa begitu membuka selera. Menurut rakan penulis yang biasa ke sini, restoran ini ada menyediakan menu nasi campur bermula dari tengahari hingga petang manakala ala carte pula dari petang hingga ke pagi.
Penulis pun mencuba nasi lemak di sini.
En. Hanim yang mengeyorkan makan nasi lemak di restoran ini.
Penulis dapati, restoran ini berkonsepkan layan diri. Oleh itu, kami memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.
En. Sharul belanja kami makan nasi lemak kali ini. Terima kasih daun keladi.
Nasi Ayam pun ada di restoran ini.
Selain nasi lemak, restoran ini ini juga menyediakan nasi putih biasa yang boleh dimakan bersama lauk pauk nasi lemak ini. Ada juga dikalangan kami yang tidak makan nasi lemak, maklumlah nasi lemak ini berkalestrol tinggi dan boleh membahayakan kesihatan. Oleh itu, mereka pun memesan makanan lain seperti nasi goreng, nasi ayam, kuewtiow goreng, sate, otak-otak dan lain-lain makanan lagi.
Bila malam kami order sate pula.
Kami ngeteh sehingga 10.00 malam.
Walau bagaimanapun restoran pilihan kita, faktor utama sebelum makan direstoran tersebut pastikan ianya bersih dan halal.

Isnin, 18 November 2013

Bertemu Rakan Sekolah

Sejak akhir-akhir ini, kami dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan persekolahan. Dahulu kami rakan sekelas ketika sama-sama menuntut di Sekolah Menengah Vokasional Kelang pada tahun 1985 hingga 1986. Dengan usaha seorang rakan, maka banyak perjumpaan telah kami anjurkan. Antaranya pada tahun 2011, hampir 100 orang bekas pelajar SMVK 1985/86 dapat ditemukan. Jika ada masa, sekali sekala kami akan cuba berjumpa, ngeteh bersama-sama di sekitar Shah Alam, Kuala Lumpur atau Ampang.
Antara rakan-rakan yang hadir pada petang itu.
Ada diantara kami sudah 27 tahun tidak berjumpa.
Kelmarin kami membuat pertemuan lagi di Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang, Shah Alam. Kami berjumpa kembali dengan Baharom, Jajuli, Azhari, Shahrul, Syed Hafiz, Hanim, Arifin, Helmi, Furiz, Jannah, Jamsari, Hadi, Jailani, Mutalib dan Rozila. Sungguh gamat majlis itu, kami terasa seperti berada waktu zaman persekolahan pula.
Suasana menjadi gamat.
Terasa seperti berada di zaman persekolahan.
Ada yang tidak berubah wajahnya, ada yang bertambah tampan dan ada juga yang berbeza hampir tidak kami kenali, Begitulah putaran alam. Kita berpisah membawa haluan. Dengan izinnya kami dipertemukan dengan berbagai-bagai kisah kehidupan...
Ngeteh hingga jam 100.00 malam.
Masing-masing mengimbau kenangan lama.
Kami bergambar dan berpeluk-pelukan tanda mesra terikat di zaman persekolahan. Alhamdulilah ramai dikalangan kami yang masih kuat dan sihat. Mereka berjaya dengan kerjaya atau bidang masing-masing. Ada yang hidup secara sederhana sahaja dan ada juga yang kaya raya bersama keluarga bahagia masing-masing. Itu semua rezeki masing-masing yang dianugerahkan oleh Allah untuk hambanya..
Ada sekutum bunga dari kumpulan kumbang yang datang.
Suasana yang meriah.
Semuga usaha murni ini berjalan dengan lancar dan banyak mendatangkan kebaikan kepada kita semua. Seronok berjumpa semula dengan rakan-rakan di dalam majlis seperti ini.. Hopefully next time boleh berjumpa lagi dengan yang lain-lain..
Hampir 27 tahun tiak berjumpa en. Baharum ini.
Restoran Nasi Lemak Cinta Sayang. Tempat pertemuan kami kali ini.
Firman Allah SWT. 
“Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silatur rahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati kamu.” (an-Nisaa’: Ayat 1) 
Nabi saw. bersabda, “Tidak masuk Syurga, mereka yang memutuskan silatur rahim.” (HR Bukhari dan Muslim) 
Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, hendaklah dia menjalinkan silatur rahim.” (HR Bukhari) 
Nabi saw. bersabda, “Sesiapa yang suka agar diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silatur rahim.” (HR Bukhari)