Khamis, 28 Julai 2011

Rabu, 27 Julai 2011

Runsing

Semalam, anak dara penulis bertanya, "kenapa ayah sekarang pulang awal dan tidak buat kerja lebih masa pada hari Sabtu dan Ahad?. Penulis jawab "opis ayah hendak tutup tidak lama lagi, bos ayah tiada sumber kewangan hendak membaya gaji pekerja dan kemungkinan besar ayah akan hilang pekerjaan". Penulis dapati air matanya berlinangan dan dia kelihatan amat sedih. Anak penulis bertanya lagi "nanti ayah kerja kat mana?. Pertanyaan itu yang sukar penulis hendak jawab.

Anak penulis.

Dalam nada bergurau penulis menjawab "Ayah sudah pun memohon kerja pengawal Keselamatan kondo di hadapan rumah kita". Anak penulis agak terperanjat seraya mengelengkan kepala menandakan beliau tidak bersetuju. Penulis bertanya "kenapa?". Dia jawab, dia malu dengan kawan-kawannya. Penulispun bercerita kepadanya "apa yang hendak dimalukan, semasa emak kenal ayah dulupun, ayah berkerja sebagai pengawal keselamatan. Emak terima ayah seadanya. Dan, penulis bercerita lagi "Jika ayah masih berkerja sebagai pengawal keselamatan, mungkin ayah tidak akan kehilangan pekerjaan dan kemungkinan besar ayah sudah dinaikkan pangkat sebagai ketua". Anak penulis hanya mendiamkan diri sahaja. Tetapi air airmatanya tetap berlinangan. Cuma, penulis berharap beliau memahami situasi ayahnya sekarang.

Sememangnya situasi sekarang amat merisaukan penulis. Tambahan lagi bagaimana hendak menyambut Ramadhan dan Syawal nanti. Tentunya memerlukan pembelanjaan yang besar juga. Kemungkinan besar, sambutan hari raya tahun ini tidak semeriah seperti tahun lepas-lepas. Tambah merunsingkan lagi apabila memikiran bagaimana hendak membayar segala hutang piutang seperti hutang bank, rumah, kenderaan dan kad kridet. Mengharapkan pendapatan isteri memang tidak mencukupi.

Takdir penentu segalanya. Penulis percaya, dengan ada sedikit kemahiran dan pengalaman yang Allah beri, insyaallah, rezeki ada di mana-mana .... Aminnn........

Isnin, 25 Julai 2011

Chelsea Asia Tour 2011 - Malaysia vs Chelsea

Tahniah diucapkan kepada pasukan Malaysia kerana kalah tipis 0-1 kepada Chelsea, salah satu daripada pasukan terkemuka dalam Liga Perdana Inggeris. Malaysia mempamerkan permainan yang sangat baik jika dibandingkan dengan perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Arsenal dan Liverpool. Di bawah antara foto-foto yang sempat penulis rakamkan.






Pada perlawanan kali ini lawan Chelsea the only goal dijaringkan oleh Didier Drogba melalui sepakan percuma dan gol tersebut menjadi kontroversi kerana tidak begitu jelas yang ianya melepasi garisan gol.






Malaysia juga mendapat banyak peluang terutamanya hantaran cantik oleh Irfan Fazail tetapi tidak dapat disempurnakan oleh Thamil Arasu. Apa-apa pun tahniah kepada semua pemain Malaysia terutamanya penjaga gol, Farizal Marlias yang berjaya mengekalkan rekod bersih sebelum beliau ditukarkan dengan Mohd Izham Tarmizi.

Selasa, 19 Julai 2011

Liverpool tour of Asia - Malaysia vs Liverpool

Tahniah diucapkan kepada pasukan bolasepak Malaysia kerana berjaya menjaringkan 3 gol bagi perlawanan persahabatan Malaysia lawan Liverpool. Penulis yang menyaksikan perlawanan tersebut, bukan sesuatu yang mudah bagi menjaringkan ke gawang gol bagi salah satu kelab yang paling berjaya di England. Tiga kali ledakan, bukan mudah tetapi tidak mustahil. Di bawah, di antara foto-foto yang sempat penulis rakamkan:











Walaupun stadium dipenuhi oleh peminat Liverpool, tetapi, setiap kali pasukan Malaysia menyerang dan dapat menjaringkan gol, mereka tetap bersorak sama. Ini menandakan pasukan Malaysia masih di hati mereka.

Jumaat, 15 Julai 2011

Tiada Lagi

Tiada Lagi

Sia-sia sudah
Kita jalin cinta
Bila hati selalu berbeda

Sampai kapan lagi
Aku harus menahan
Rasa kecewa di dalam dada

Seandainya kita masih bersatu
Tak mungkinkan menyatu
Walau masih ada sisa cinta
Biarkan saja berakhir sampai
Di sini

Tiada lagi yang ku harapkan
Tiada lagi yang ku impikan
Biar aku sendiri tanpa diri mu
Tiada lagi kata cintaku
Takkan lagi ku bersama mu
Biar ku simpan semua
Kenangan ku bersamamu

Lagu: Amy

Rabu, 13 Julai 2011

Peludah Warna

Penulis bukan mahu bercerita mengenai perhimpunan BERSIH. Tetapi, penulis ingin berkongsi cerita mengenai sasterawan negara, A. Samad Said. Penulis masih ingat pertama kali penulis melihat dan mengenali Pak Samad. Ketika itu penulis bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Setiap kali DBP mengadakan majlis rasmi, Pak Samad sering dijemput untuk deklamasikan puisi-puisinya. Apabila Pak Samad membaca puisi atau sajak, penulis adalah salah seorang peminat yang menjadi pendengar setianya.

Foto: Kridet David Photography

Peludah Warna

Kuasa gusar kini menggelegak murka;
warna kuning diisytihar racun terbisa.
Diragutnya baju-T segeram tenaga
dan diumum itulah busana bahaya.

Tapi, kita jahit semula perca kain,
menjadikannya panji terindah dan tulen.
Warna kuning yang teramat tenang dan syahdu
kita kembalikan damai ke dalam qalbu.

Kini cahaya mentari mungkin diramas
dan sinar kuningnya juga mungkin dicantas.
Memanglah mereka kini peludah warna
sedang menghimpun lendir kahak sebanyaknya.

Kerana nikmat amat lama berkuasa,
kuasa pun seolah menjadi hartanya.

A. SAMAD SAID

Melihat foto dan membaca puisi Pak Samad di atas, penulis menitiskan air mata. Walau dalam usia begini Pak Samad tidak berhenti berjuang. Mogok seni beliau tidak terhenti begitu sahaja. Beliau dalam usia begini masih sanggup turun ke jalanan demi memperjuangkan anak bangsa.

Selasa, 12 Julai 2011

Menonton Transformers

Hari minggu lepas penulis berpeluang menonton filem, Transformers: Dark of the Moon. Kali ini penulis menonton di panggung TGV, KLCC. Ini merupakan kali kedua penulis menonton filem ini. Kali pertama tidak selesa menonton kerana duduk di barisan hadapan sekali. Sakit kepala dibuatnya kerana asyik mendonggak sahaja. Tetapi, menonton kali kedua ini sangat selesa kerana duduk di barisan belakang dan menonton dalam format 3D lagi.

Teket.

Transformers: Dark of The Moon mengisahkan bagaimana saki baki Decepticon yang diketuai oleh Megatron cuba menakluki bumi untuk membina semula Cybertron yang musnah. Dengan bantuan Prime yang berpaling tadah, Decepticon berjaya mendapatkan semua ‘pillar’ yang ada untuk membawa masuk Decepticon, Cybertron dan yang lain ke bumi. Dalam masa yang sama, berlaku konflik di antara manusia dan Autobots. Akhirnya, Autobots diarah meninggalkan bumi.

Poster.

Apakah yang akan terjadi selepas Autobots meninggalkan bumi? Dapatkan manusia menentang Decepticon yang cuba menakluk bumi? Saksikannya di pawagam-pawagam berhampiran dengan kediaman anda.

Agak membosan pada setengah jam pertama, tetapi, selepas itu sangat menghiburkan. Tidak perlu cakap banyak. 4/5 bintang penulis berikan.

Jumaat, 8 Julai 2011

Nasi Arab

Sudah lama penulis berhajat hendak menikmati nasi arab. Kelmarin tercapai juga hajat di hati. Destinasi yang paling dekat adalah di Restoran Saba, Setiawangsa. Sebenarnya penulis pernah menikmati nasi arab semasa melawat Egypt dan Qatar, cuma di tanah air sendiri belum lagi.

Dataran Setiawangsa.

Saba Restaurant Setiawangsa.

Lokasinya di Dataran Setiawangsa berhadapan dengan stesen LRT Setiawangsa. Setelah terbaca beberapa buah laman web dan blog yang menceritakan mengenai restoran ini, penulis terus mengajak keluarga makan petang di situ.

Menu

Saba Restaurant.

Semua menu-menu yang di pesan penulis sudah lupa sebab susah hendak ingat. Maklumlah pertama kali kami menikmati menu seperti ini. Yang penulis tahu menu yang kami makan ialah MANDI CHICKEN. Ada 3 jenis dan MANDI CHICKEN adalah salah satu jenis menu. Penulis hendak mencuba sebab tertarik dengan ulasan beberapa buah laman blog di internet.

Mandi Chicken.

Rm 12.00

Tidak adil, jika hendak dikatakan nasi arab di sini sangat sedap. Lagipun ini kali pertama penulis makan dan tidak pernah makan lagi di tempat lain kecuali di luar negara. Tetapi, ketika kami tiba di restoran ini, tempat duduk dipenuhi dengan pelanggan dan kami terpaksa menunggu pula.

Habis licin?

Jika tengahari restoran ini penuh.

Dengan jumlah pengunjung yang datang yang tidak putus-putus dan boleh di katakan sedaplah juga. Harganya pula memang dalam bajet kami iaitu dalam sekitar RM50.00. Secara keseluruhan... berbaloi lah juga!

Khamis, 7 Julai 2011

Masih Ada Rezeki

Sepanjang minggu ini Pengerusi Badan Keluarga pejabat penulis mengadakan Majlis Bacaan Yasin. Majlis ini akan diadakan sehingga 11hb Julai ini. Menurut Pengerusi Badan Keluarga, kami mengadakan majlis bacaan Yasin ini untuk memohon kepada Allah SWT supaya dimurahkan rezeki halal yang berpanjangan dan dijauhi segala musibah. Alhamdulillah... selepas Majlis Bacaan Yasin dan berdoa, kami dihidangkan pelbagai jenis makanan yang lazat-lazat oleh beberapa orang penaja yang bermurah hati.

Di bawah disertakan foto-foto yang sempat penulis rakamkan:













Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi Badan Keluarga yang bersusah payah mengadakan Majlis Bacaan Yasin ini dan kepada individu yang sudi menaja makanan kami untuk majlis bacaan Yasin ini. Semoga mereka dijauhi sebarang musibah dan dimurahkan rezeki halal yang berpanjangan... Aminnn...

Selasa, 5 Julai 2011

Surah Yasin

Sudah pasti ramai yang mengetahui bahawa surah Yasin yang terkandung di dalam al-Quran merupakan sebuah surah yang selalu dibaca oleh umat Islam dan ia selalu dibaca pada malam Jumaat. Tetapi tahukah kita bahawa dengan mengamalkan membaca surah Yasin tidak kira masa, kita akan memperolehi pelbagai khasiat dan kebaikan. Di pejabat penulispun sering mengadakan majlis bacaan Yasin untuk mengelakkan sebarang musibah.


Kali ini penulis kongsikan beberapa khasiat membaca surah Yasin yang telah penulis temui di dalam sebuah laman web di internet.

Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah Yasin kerana ia mengandungi keberkatan.” Iaitu:
  • Apabila orang lapar membaca surah Yaasin, ia boleh menjadi kenyang.
  • Jika orang tiada pakaian boleh mendapat pakaian.
  • Jika orang belum berkahwin akan mendapat jodoh.
  • Jika dalam ketakutan boleh hilang perasaan takut.
  • Jika terpenjara akan dibebaskan.
  • Jika musafir membacanya, akan mendapat kesenangan apa yang dilihatnya.
  • Jika tersesat boleh sampai ke tempat yang ditujuinya.
  • Jika dibacakan kepada orang yang telah meninggal dunia, Allah meringankan siksanya.
  • Jika orang yang dahaga membacanya, hilang rasa hausnya.
  • Jika dibacakan kepada orang yang sakit, terhindar daripada penyakitnya.


Rasulullah S.A.W bersabda: “Sesungguhnya setiap sesuatu mempunyai hati dan hati al-Quran itu ialah Yasin. Sesiapa membaca surah Yasin, nescaya Allah menuliskan pahalanya seperti pahala membaca al-Quran sebanyak 10 kali.”


Sabda Rasulullah S.A.W lagi: “Apabila datang ajal orang yang suka membaca surah Yasin pada setiap hari, turunlah beberapa malaikat berbaris bersama Malaikat Maut. Mereka berdoa dan meminta dosanya diampunkan Allah, menyaksikan ketika mayatnya dimandikan dan turut menyembahyangkan jenazahnya.”


Malaikat Maut tidak mahu memaksa mencabut nyawa orang yang suka membaca Yaasin sehingga datang Malaikat Redwan dari syurga membawa minuman untuknya. Ketika dia meminumnya alangkah nikmat perasaannya dan dimasukkan ke dalam kubur dengan rasa bahagia dan tidak merasa sakit ketika nyawanya diambil.


Rasulullah S.A.W bersabda selanjutnya: “Sesiapa bersembahyang sunat dua rakaat pada malam Jumaat, dibaca pada rakaat pertama surah Yaasin dan rakaat kedua Tabaroka. Allah jadikan setiap huruf cahaya di hadapannya pada hari kemudian dan dia akan menerima suratan amalannya di tangan kanan dan diberi kesempatan membela 70 orang daripada ahli rumahnya tetapi sesiapa yang meragui keterangan ini, dia adalah orang-orang yang munafik.



Begitu banyak khasiat dan kebaikan yang bakal kita perolehi melalui bacaan surah Yasin, seperti yang telah disebut seperti di atas Yasin umpama hati kepada al-Quran. Sudah semestinya salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada seseorang pastinya melalui hati, oleh itu marilah kita mendekatkan diri kita kepada Allah S.W.T. melalui ibadah dan bacaan Yasin. InsyaAllah.

Sumber: Mohd Isa