Rabu, 31 Mac 2010

Baru Pulang Dari Bengkel Buku...

Hari Jumaat yang lalu, penulis dan rakan-rakan designer dan ilustrator dikehendaki menghadiri bengkel buku teks di Corus Paradise hotel, Port Dickson. Kami bertolak dari pejabat pada pukul 10.15 pagi setelah semua kelengkapan siap. Kami dibenarkan check-in pada pukul 12.00 tengahari. Perjalanan kami juga sangat santai, tidak perlu mengejar masa.

Corus Paradise Hotel di waktu malam - foto oleh Sweet&Sour Photodesign.

Corus Paradise Hotel Port Dickson.

Jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke Port Dickson tidaklah jauh. Lebih kurang 100 kilometer sahaja. Kami sampai ke Corus Paradise Hotel pada pukul 11.30 pagi. Setelah selesai check-in, kami ke bilik. Dari bilik yang menghadap ke laut, penulis dapat melihat pemandangan sungguh menarik. Memang benar, inilah tarikan utama pengunjung ke Port Dickson dan itulah salah satu sebab mengapa hotel-hotel di sini sentiasa penuh.

Para peserta bengkel baru tiba di lobi hotel - Foto oleh Sweet&Sour Photodesign.

Bilik hotel yang agak selesa. Foto oleh Sweet&Sourdesign

Pukul 2.30 petang, kami perlu menghadiri bengkel mengikut tajuk buku masing-masing. Suasana bengkel pada petang itu berjalan dengan tenang dan lancar. Penulis terasa lega kerana konsep buku ini diterima oleh ahli panel walaupun dengan bersyarat. Bengkel ini berehat sebentar pada jam 6.00 petang. Dikesempatan itu, penulis dan rakan-rakan berkumpul di tepi pantai untuk merakamkan suasana matahari terbenam di pinggiran pantai Port Dickson.

Suasana bengkel - Foto oleh Sweet&Sour Photodesign.

Sempat lagi Outing di tepi pantai.

Selepas makan malam, 9.00 malam, kami kembali ke bilik masyuarat untuk sambung bengkel buku teks sesi yang ke dua. Bengkel tamat tepat pada jam 11.00 malam. Selepas bengkel kami tidak ke mana-mana, hanya berehat di sekitar hotel sahaja. Ada juga rakan-rakan keluar minum teh tarik di bandar Port Dickson.

Sempat mengadakan sesi fotografi di persisiran pantai Port Dickson.

Pemandangan dari tingkat 5. Foto oleh Raf_76

Esoknya, merupakan hari kedua dan terakhir kami di Corus Paradise. Pukul 10.00 pagi, selepas bersarapan, kami ke kolam renang. Rakan-rakan masih belum puas bermain air kolam renang. Yelah, bila kolam renang ni dipenuhi orang, pergerakan menjadi terhad dan masing-masing tidak dapat bergerak bebas sebaliknya perlu berhati-hati.

Kolam mandi yang luas tetapi di hadapan lobi.

Makan malam. Foto oleh Sweet&Sour Photodesign

Akhirnya, kami check-out pukul 12.30 tengah hari. Pukul 2.00 petang, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur. Masing-masing mengadu kulit muka mereka perit terbakar dek pancaran cahaya matahari.

Penulis sedang berserapan pagi.

Sham sedang mengapungkan diri di kolam renang.

Akhirnya, kami sampai ke Kuala Lumpur pada pukul jam 4.00 petang. Bengkel kali ini agak mencabar juga dan ianya sudah tentulah meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakan. Disamping berbengkel, kami sempat bersantai-santai dan berehat-rehat. Sekurang-kurangnya, kami dapat menenangkan fikiran setelah beberapa minggu kami penat berkerja dan stay back kerana mengejar dateline...

Khamis, 18 Mac 2010

Memori Panggung Wayang

Minum air tin sambil mengunyah kuaci ketika menonton wayang pada era 80an dan 90an masih segar di ingatan penulis. Menonton filem ‘pecah panggung' pada zaman tersebut seperti filem arahan Yusuf Haslam dan Aziz M. Osman menjadi antara kenangan terindah buat penulis ketika itu.

Panggung Faderal di Jalan Raja Laut.

Walaupun panggung wayang ketika itu tidak secanggih sekarang, namun sambutan daripada penonton sangat menggalakkan. Barisan pawagam seperti Cathay, Rex, Capitol, Odeon, dan Colesium penuh dengan penonton setiap kali ada tayangan filem baru.


Panggung Capitol di Jalan Raja Laut.

Ketika zaman kegemilangannya, pawagam ini penuh sesak dengan orang ramai yang berasak-asak untuk mendapatkan tiket filem-filem terkenal. Walaupun hanya duduk di kerusi kulit lusuh dengan bauan pawagam lama, tetapi keadaan pada masa itu tetap meriah dan dipenuhi dengan peminat-peminat filem.

Bagi penulis yang sememangnya meminati filem Melayu, panggung Odeon dan Coliseum akan menjadi pilihan. Jika penulis ingin menonton filem Inggeris pula, penulis akan ke panggung Rex atau Cathay. Sekali sekala, penulis akan ke panggung Capitol untuk menonton filem-filem Cina, Tamil dan Hindi.

Panggung Odean di Jalan TAR.

Inilah senario yang dapat penulis lihat pada zaman kegemilangan bandaraya Kuala Lumpur dengan pawagam-pawagam lama ini membina nama dengan begitu gah sekali. Tetapi kini, segala-galanya sudah berubah, ekoran pembangunan dan perancangan bandar.

Panggung Coliseum di Jalan TAR.

Walaupun bangunan pawagam-pawagam lama ini masih wujud, tetapi hanya tinggal papan tanda yang kelihatan dan ada di antara pawagam ini terbiar kosong. Ada juga yang telah diubah suai oleh pemilik-pemilik baru dan dijadikan kedai berkonsep moden sesuai dengan keadaan sekarang.

Teket panggung REX di Jalan Silang.

Kewujudan pasar raya besar yang memuatkan pawagam baru telah membunuh kemeriahan pawagam tradisional ini. Malah, pawagam baru yang menawarkan konsep menarik seperti ruang penganjuran acara korporat sosial eksklusif, meja pool, mesin muzik, televisyen plasma, khidmat melayari internet secara percuma dan persekitaran kondusif serta makanan yang enak mematikan terus ingatan kepada nostalgia pawagam tradisional.

Malang sekali, bangunan yang sepatutnya menjadi antara peninggalan sejarah dan tumpuan pelancong itu kini ‘hilang’ sekelip mata.

Isnin, 15 Mac 2010

Taniah!, Lee Chong Wei Juara All England 2010

Penulis bersama Dato' Lee Chong Wei ketika di Johor Bahru.

Tahniah, tahniah dan tahniah sekali lagi. Dato’ Lee Chong Wei akhirnya berjaya bergelar johan/juara pertandingan badminton All England 2010. Habis sudah badi Dato’ Lee Chong Wei. Go for Piala Thomas pulak. Congratulations Dato’.

Saya bangga menjadi rakyat Malaysia.

Jumaat, 12 Mac 2010

Rumah Kayu Resort Homestay

Sepanjang dua malam kami berada di Bukit Mertajam, Pulau Pinang, kami menginap di sebuah chalet berkonsepkan Rumah Kayu Homestay. Sekali pandang homestay ini seperti sebuah muzium ataupun sebuah pusat kesenian.

Lankap laman yang sungguh unik dan menarik.

Chalet dan homestay ini terletak di daerah pokok Machang yang hanya lebih kurang 10 kilometer dari tol Bertam dan 15 kilometer dari tol Sungai Dua. Kedudukannya yang strategik diantara suasana bandar dan desa menjadikanya sangat sesuai untuk seisi keluarga menginap di alam desa sambil mampu menikmati kemudahan di bandar.

Pemandangan chalet dari pintu hadapan yang sungguh menarik.

Kepelbagaian dalam mentafsirkan struktur “rumah kayu” ini mungkin kerana masyarakat secara amnya sudah lupa yang pada sesuatu masa kesemua rumah kediaman dinusantara ini adalah diperbuat daripada kayu. Dalam kemodenan arus pembangunan, sedikit demi sedikit, rumah kayu sudah berganti konsep rumah batu yang kemudahanya berubah pula menjadi perumahan batuan. Sekaligus melenyapkan keperibadian kediaman melayu zaman silam.

Bilik yang bertaraf hotel lima bintang.

Konsep rumah kayu ini didokong oleh sifat keterbukaan, kemudahan guna sama dan “privacy” terkawal. Didokong oleh sebuah rumah ibu yang menempatkan ruang legar, dapur, ruang makan dan surau. Kesemua bilik penginapan yang berjumlah 9 semuanya berpaksi kepadanya.

Bilik air yang sangat menarik.

Usaha membina rumah kayu ini merupakan cetusan idea pemilik yang cuba mengenengahkan konsep rumah kayu zaman silam digarap dengan kemudahan di zaman moden. Berada di rumah kayu ini merupakan satu “time capsule” yang mampu menjengah sejarah.

Pemandangan chalet Rumah kayu di waktu malam.

Kemudahan yang direka setara hotel lima bintang, mampu memberikan keselesaan kepada keluarga yang mempunyai anak yang sudah terbiasa dengan kemudahan moden. Pendek kata bagi yang seusia pemilik yang berteduh di Rumah Kayu Resort ini, andah seolah-olah kembali berada di zaman silam ketika berada di kampung dahulu tetapi tetap selesa dengan segala kemudahan yang disediakan.

Isnin, 8 Mac 2010

Lata Kijang

Dalam perjalanan ke Pulau Pinang, apabila sampai perhentian rehat Tapah, kami singgah sebentar ke air terjun Lata Kinjang. Kami ke sana untuk membantu mengambil beberapa keping gambar untuk kegunaan Buku Ensiklopedia yang sedang ditanggani oleh rakan sepejabat

Air terjun Lata Kinjang.

Lata Kijang merupakan air terjun yang ketinggiannya mencecah 850 meter, terletak kira-kira 18 kilometer dari Tapah. Dari pekan Tapah pengunjung dikehendaki mengikuti jalan Persekutuan yang jaraknya kira-kira 13 kilometer menuju ke pekan Cenderiang iaitu sebuah pekan lama yang paling hampir dengan kawasan air terjun tersebut.

Lata Kijang sentiasa dikunjungi ramai.

Selain bermandi-manda, ada juga pengunjung yang datang ke sini mengambil kesempatan untuk berkelah, mengadakan aktiviti riadah dan lasak.

Cuaca yang panas memang best apabila berendam.

Terdapat perkampungan orang asli berhampiran dengan kawasan rekreasi ini. Di sini kami boleh melihat tradisi kehidupan mereka. Saling menghormati dan mempercayai satu sama lain boleh dicontohi oleh masyarakat luar.

Ambil gambar sendiri.

Tetapi, apa yang penulis perhatikan di sini dan apa yang sadisnya, keindahan air terjun ini telah di abaikan. Terdapat banyak sampah sarap bertaburan di sana-sini. Pemandangan yang kurang menyelesakan. Walau bagaimana pun air terjun ini tetap menerima kunjungan ramai baik dari kawasan setempat mahu pun jauh.

Air yang jernih dan mengalir dengan tenang.

Di air terjun Lata Kinjang ni, terdapat satu kisah misteri yang telah disiarkan melalui Misteri Nusantara di TV3 yang mengisahkan tentang “Sang Kelembai”, penulis pun tidak beberapa tahu sangat kisah itu. Kena tanya orang kampung laa nampaknya!

Pemandangan dari atas Lata Kijang.

Setelah hampir satu jam merakamkan gambar-gambar menarik, kamipun meneruskan perjalanan ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang

Rabu, 3 Mac 2010

SK. Pendidikan Khas ALMA (Penglihatan)

Kelmarin, penulis bersama editor dan jurufoto telah pergi ke Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (penglihatan) Alma, Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Di sana, kami ditugaskan untuk mengambil gambar foto aktiviti murid-murid sekolah ini untuk kegunaan buku teks sekolah. Ketibaan kami di sana disambut oleh guru besar sekolah tersebut bersama beberapa orang guru. 

Penulis hanya sebagai back up photograher.

Apa yang penulis tertarik tentang murid-murid ini ialah ketabahan dan kecekalan diri mereka. Mereka terpaksa melalui kehidupan seperti orang normal tetapi kesukaran yang terpaksa mereka lalui ialah berlipat kali ganda berbanding orang normal. Penulis sangat mengkagumi dengan mereka semua kerana dengan kecacatan yang mereka miliki, mereka tetap juga mampu meraih pelbagai kejayaan dalam akademik.

Adik comel ini sedang mengunakan komputer.

Selain itu, ada juga kes murid-murid cacat tersebut tidak diketahui siapa ibu bapa mereka. Cuba bayangkan, seorang murid yang mempunyai masalah penglihatan ditambah pulak dengan ketiadaan kasih sayang daripada ibu bapa. Penulis amat bersyukur kerana lebih bernasib baik, walaupun penulis kehilangan ibu bapa semenjak kecil, tetapi penulis masih dapat melihat keindahan alam maya ini ciptaan Tuhan ini.

Sesi bergambar.

Seharian kami di sana, penulis dapat lihat pelbagai anugerah lain yang dikurniakan Tuhan kepada mereka. Ada yang mempunyai suara yang lunak, ada yang boleh mengira dengan hanya mencongak saja, ada yang berani bersuara, ada yang pandai menghafaz Aal-Quran dan banyak lagi. Kelebihan ini memang sukar untuk diatasi oleh orang normal tetapi disebabkan masalah biokrasi dan diskriminasi, hak mereka terus diabaikan.

Penulis bersama editor dan guru penolong kanan.

Akhir sekali, penulis juga mengkagumi dengan perpaduan yang terjalin antara mereka, tidak mengira kaum, mereka sentiasa bantu membantu dan begitu mesra sekali. Mereka hidup seperti sebuah keluarga yang besar. Kini, merekalah aspirasi hidup penulis. Love them so much!