Selasa, 25 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Keempat


Kolaj berlibur di Kota Tinggi dan Padang, Sumetera, Indonesia.

Pagi itu kami daftar keluar dari hotel Pusako, hotel yang khabarnya satu-satunya bertaraf empat bingtang di Bukit Tinggi. Kami akan pulang dan bermalam di Padang, kerana perlu bergegas awal pagi untuk penerbangan balik keesokan harinya.


Mencuci muka di air terjun Lembah Anai

Hotel kami sebenarnya berhampiran dengan satu lagi tempat menarik di Bukit Tinggi iaitu Ngarai Sianok dan Lubang Jepang. Oleh kerana sudah dekat, kami singgah dulu di situ.

Terowong Jepang adalah kubu bawah tanah yang dibina oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Ramai buruh paksa yang telah menjadi korban di sini. Buruh paksa yang dikurung di sini dibawa dari suatu tempat yang berjauhan supaya mereka tidak tahu jalan pulang, jika terlepas keluar. Di dalam lubang ini ada banyak bilik-bilik dan terowong yang panjang keseluruhanya adalah 7 kilometer


Penulis dipintu masuk air terjun Lembah Anai

Sehingga hari ini, masih ada terowong yang tidak dibuka untuk pengunjung. Oleh kerana terowong yang banyak di bawah Kota Bukit Tinggi, bangunan di sini disyaratkan tidak melebihi ketinggian tertentu. Kami menuruni 132 anak tangga yang curam untuk ke lubang Jepang, lelah juga bila mahu kembali ke atas.

Berhampiran dengan Lubang Jepang itu adalah Ngarai Sianok, Grand Canyon versi Bukit Tinggi. Pemandangannnya sangat indah dari atas. Berlatarkan Gunung Singalang.


Bergambar ramai-ramai di hadapan restoran Pak Datuk

Suhu di Bukit Tinggi masih lagi dingin. Kami dibawa singgah sebentar di Pandai Sikek di Padang Panjang. Bukit Tinggi memang terkenal dengan barangan sulamnya. Di sini kami dapat melihat kerajinan tangan penduduk yang membuat sulam menyulam. Ibu-ibu dari Malaysia boleh rambang mata melihat kain telekung dan kain dibuat kebaya.

Penulis berada di hadapan kedai di Pandai Sikek

Dalam perjalanan ke Padang, kami singgah sebentar di air terjun Lembah Anai. Air terjun ini agak unik kerana airnya agak memanjang dari atas. Menurut Pak Man jika sesiapa yang mencuci muka di air terjun ini dia akan kelihatan semakin muda dan jika mandi di sini dia akan jadi bayi,  pada mulanya kami ambil serius rupa-rupanya Pak Man hanyalah bergurau sahaja.


Penulis berada di dalam lubang Jepang

Sesudah mencuci muka dan mengambil gambar, kami meneruskan perjalanan ke Padang yang mengambil masa 4 jam. Apabila kami sampai ke kota Padang kami bawa melawat kota Padang lama, Pantai Muara Padang, Jembatan Siti Nurbaya dan kami bershoping di Plaza Andalas dan Plaza Matahari.

Rasanya tak cukup masa dan tak sempat untuk melihat keseluruhan kota Padang. Kamipun mendaftar masuk ke hotel Bumi Minang yang bertaraf empat bintang di Kota Padang. Sungguh rugi rasanya jika menginap hotel bertaraf 4 bintang jikalau sekadar tidur sahaja Sebelah malam akan aku melayari internet di CC dan mendengar live band di lobi hotel.

itu malam berakhir kami di kota Padang. Esoknya kami perlu daftar keluar untuk pulang ke tanah air.

Isnin, 24 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Ketiga


Kolaj berlibur ke Tasik Meninjau

Pagi itu saya bangun awal Jam 5 pagi sudah terdengar bacaan Al-Quran berkumandang dari masjid yang berdekatan. Bersahut-sahutan. Sebenarnya, kerana ada banyak masjid yang berdekatan. Saya dikejutkan oleh puan Eatikah di bilik bersebelahan. Sungguh sayu rasanya bila mendengar bacaan Al-Quran berkumandang di Bukit Tinggi dalam kesejukan pagi.

Suasana di sini terasa macam suasana kampung masa saya kecil dahulu. Tak tahu mengapa tetapi kembara di Tanah Minangkabau ini membuatkan saya rasa rindu pada kenangan masa dahulu di kampung, 20 ke 30 tahun dahulu. Saya rasa bagi bertemu semula dengan jiwa 'Melayu' saya yang hampir hilang



Menaiki kereta kuda di Bukit Tinggi

Kami menuju ke Danau Meninjau yang jaraknya 33 km tetapi memakan masa dua jam perjalanan kerana jalanya kecil dan banyak selekoh tajam. Danau Meninjau adalah sebuah tasik yang terhasil dari letusan gunung Merapi. Danau Meninjau ini luasnya 99.5 km persegi dan mempunyai kedalaman maksima 945 meter. Jika mengelilingi danau ini, kita akan melalui jalan kampung sejauh 70 km.

Untuk sampai ke Danau Meninjau, kita terpaksa melalui 44 kelok atau 44 selekoh yang tajam. Yang menariknya di setiap selekoh akan tertulis papan tanda nombor selekoh dari 44 hingga 1. Kami berhenti di kelok 42 untuk menyaksikan pemandangan indah Danau Meninjau dari puncak bukit.



Penulis bergambar kenangan berlatar belakangkan Tasik Meninjau

Danau Meninjau juga adalah tempat kelahiran Haji Abdul Malik Karim Amrullah, ulamak dan sasterawan terulung yang juga dikenali sebagai Buya Hamka. Buya Hamka lahir di kampung Tanah Sirah, Nagari Batang Meninjau pada 16 Febuari 1908.

Rumah kelahiran Buya Hamka sudah dibaik pulih dan dijadikan sebuah muzium. Bangga saya bila diberitahu bahawa sebahagian besar kos pembaikpulihan telah ditanggung oleh ABIM, sebuah pertubuhan Islam dari Malaysia.


Penulis bergambar kenangan di kelok 42

Ketibaan kami disambut mesra oleh bapak Hanif, seorang anak saudara Hamka yang diamanahkan untuk menjaga rumah itu. Bapak Hanif mempersilakan kami duduk lalu bercerita tentang kisah buya Hamka. Walaupun saya rasa saya kenal Hamka daripada tulisan dan ceramah beliau, rupa-rupanya banyak perkara yang saya tidak tahu yang telah diceritakan oleh Pak Hanif.

Cerita Pak Hanif, Buya Hamka semasa kecil, seorang yang nakal dan mempunyai jiwa yang suka memberontak.. Ini ditambah bila ibu dan ayah beliau berpisah semasa kecil. Dua perkara inilah, kata Pak Hanif yang menyebabkan buya Hamka menjadi yang kita kenal.



Penulis berada di Tasik Meninjau

Oleh kerana nakal, buya Hamka tidak diharap untuk menyambung tugas bapanya yang juga seorang ulamak terkenal. Buya Hamka telah membawa diri ke Medan dan mula menulis. Di situ beliau mula menulis 4 buah novel serentak yang ditulis secara bersiri di dalam majalah Pedoman Masyarakat. Novel itu akhirnya kita kenali sebagai Di Bawah Lindungan Kaabah (1939), Tengelamnya Kapal Van Der Wijck (1937), Di Dalam Lembah Kehidupan (1939) dan Merantau ke Deli (1840).


Penulis berada di hadapan rumah kelahiran fro. Hamka

Jiwa saya sungguh sayu bila meninggalkan Rumah Buya Hamka. Tergenang air mata saya bila Pak Hanif menghabiskan kisah hidup Hamka yang pulang kerahmatullah pada 24hb Julai 1981. Saya rasa seperti baru sahaja berkenal dengan Buya Hamka, sungguh terasa dan rindukan seorang ulamak seperti beliau. Jasa dan budi beliau kepada dunia Islam khususnya di Nusantara ini, tidak ternilai.

Hamka semasa hidupnya telah berjaya dalam 8 bidang, kata Pak Hanif. Buya Hamka adalah seorang sasterawan, pujangga, ahli politik, pemikir Islam, wartawan, pengarang, peminpin dan ulamak. Sehingga hari ini, belum ada lagi tokoh seumpama beliau. Entah berapa tahun lagi kita akan dapat ganti seperti beliau.


merakam saat-saat indah di Bukit Tinggi

Perjalanan pulang menyusuri tepian Danau Meninjau, saya seakan terbayang-bayang kelibat Buya Hamka sewaktu muda, ketika meninggalkan Danau Meninjau, berjalan kaki melalui kelok 44 untuk menuntut ilmu ke Pasir Panjang. Saya terkenang watak Zainiddin dan Hayati dala novel Tengelamnya Kapal Van Der Wijk karangan Buya Hamka. Ternyata, Danau Meninjau adalah antara sumber inspirasi Buya Hamka dalam berkarya .

Itu malam terakhir kami di Bukit Tinggi. Esoknya kami perlu daftar keluar untuk pulang ke Kota Padang.

Khamis, 20 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Kedua


Kolaj berlibur di Bukit Tinggi & Padang Sumatera Barat Indonesia

Pagi ini kami berkira-kira mahu ke Batu Sangkar tetapi kami singgah dahulu ke butik hajjah Rosmah yang berdekatan dengan hotel kami. Sebelum turun bas, Pak Man berpesan kepada kami supaya melihat sahaja proses penyulaman dari anak-anak murid hajjah Rosmah. Jika mahu membeli barang-barangnya, harganya agak mahal namun ibu-ibu dari Malaysia sudah tidak sabar mahu melimpar wang rupiahnya. Pak Man hanya mampu tersenyum sahaja melihat gelagat ibu-ibu dari Malaysia yang sedang bershoping sakan itu.


Penulis tertarik dengan pemandangan di Bukit Tinggi.

Selepas itu kami menuju ke Pagaruyung. Perjalanan menuju ke rumah adat keturunan raja Pagaruyung sangat menarik perhatian saya. Keheningan pagi dan keindahan sawah padinya yang menghijau. Sawah padi di sini ditanam secara berteres di lereng-lereng bukit. Yang menghairankan saya, tanah yang kecil juga ditanam dengan padi. Kata Pak Man, masyarakat Minang memang sudah diajar untuk bercucuk tanam padi dan membela ikan di halaman rumah. Di setiap rumah akan ada sepetak sawah padi, juga kolam ikan.


Penulis di rumah adat Puteri Lindungan Bulan.

Perjalanan diteruskan. Kami melalui jalan yang berselekoh untuk perjalanan seterusnya. Kami singgah sebentar di sebuah perusahaan membuat kopi. Pengujung dihidangkan kopi dan teh secara percuma. Kopi diminum secara tradisional, di dalam tempurung kelapa dan dikacau dengan kayu manis untuk menambah lagi kelazatan rasa aromanya. Memang enak rasanya minum kopi di kawasan sejuk sebegitu. Kami juga mencuba jus Minang yang dicampur dengan buah pinang muda dan telur ayam kampung untuk menguatkan tenaga lelaki.

Sesudah selesai meminum jus Minang dan membeli barangan lain, kami meneruskan perjalanan kerumah adat keturunan raja Pagaruyung (Rumah gadang Putri Silindung Bulan) untuk mengambil gambar yang dikatakan menarik di sana.


Pelancung bershoping sakan di Bukit Tinggi.

Asyik sungguh saya melihat pemandangan di sepanjang jalan, tidak sedar akhirnya kami sudahpun sampai ke tapak istana Pagar Ruyung yang musnah terbakar akibat dipanah petir. Pak Man menceritakan sejarah Istana Pagar Ruyung tersebut. Istana Pagar Ruyung sebelum terbakar adalah binaan semula di tahun 1976, mengantikan bangunan asal yang telah dimusnahkan oleh Belanda. Istana terakhir dimusnahkan Belanda dalam tahun 1804. Istana yang dibina semula ini pernah didiami istana Raja Alam Minangkabau, Sultan Muning Alam. Pagar Ruyung dikatakan sebagai tempat bermulanya keturunan raja-raja Melayu. Kerajaan Pagar Ruyung adalah sebuah kerajaan yang dulunya terletak di Kecematan Tanjung Emas, Kota Batu Sangka, Kabupaten Tanah Datar. Kerajaan ini didirikan oleh Pengiran Adityawarman dari Majapahit pada tahun 1347. Parameswara yang membuka Melaka juga dikatakan mempunyai talian dengan Pengeran Adityawarman.


Bergambar kenangan dengan Hajjah Rosmah.

Kami meninggalkan tapak Istana Ruyung dengan kenangan yang terpahat di hati. Kami melalui makam Raja Pagar Ruyung yang mangkat di tempat lain, tetapi tanahnya di bawa ke sini dan kami terus ke Tasik Singkarak untuk menyaksikan pemprosesan ikan bilis air tawar. Ikan-ikan bilis ini dibeli melalui nelayan yang menangkapnya di Tasik Singkarak ini. Ikan ini akan digoreng atau dikeringkan dan dijual kepada penduduk tempatan dan pelancung dari dalam dan luar negeri. Ikan bilis kering ini boleh dibeli dengan harga 60 ribu rupiah sekilo.


Hotel Posako, Bukit Tinggi.

Sesudah selesai membeli ikan bilis, kami meneruskan perjalanan kami pulang ke Bukit Tinggi. Kami terus ke Pasar Atas untuk 'menambah pelaburan' dan menghabiskan rupiah.


Pak Man, pemandu bas dan pemandu pelancung.

Kami pulang ke hotel Pusako keletihan setelah berbelanja besar. Antara tarikan Kota Bukit Tinggi adalah Jam gadang, ataupun jam besar tinggalan Belanda. Itulah juga pusat Kota Bukit Tinggi yang berhampiran dengan pusat membeli belah di Pasar Atas.

Hari kedua kami berakhir dengan melabuhkan diri di katil hotel Pusako. Esoknya kami akan ke Tasik Meninjau dan Muzium Prof. Dr. Buya Hamka.

Rabu, 19 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Pertama

Kolaj berlibur di Bukit Tinggi, Indonesia.

Penerbangan kami hari itu awal pagi. Pukul 7.50 pagi. Maknanya kami terpaksa bangun awal pagi untuk ke LCCT. Sebenarnya tidur kamipun tidak berapa nyeyak malam itu mungkin kerana sudah tidak sabar lagi mahu menjejakkan kaki ke Tanah Minang. Sebelum subuh, kami sudah sampai ke terminal LCC, KLIA.


Penulis baru tiba di Bandar Udara Antarabangsa Minangkabau, Padang, Indonesia.

Pemandangan dari atas pesawat sungguh cantik dan menawan. Kedudukan Badar Udara Padang yang terletak hampir dengan pantai, membolehkan kami menikmati pemandangan Padang yang menghadap Lautan Hindi. Jam 9.30 pagi atau 8.30 pagi waktu Padang, pesawat yang kami naiki mendarat dengan selamat di Bandar Udara Antrabangsa Minangkabau, Padang. Khabarnya lapangan terbang ini baru dibina menggantikan lapangan terbang yang lama. Bangunan terminalnya memang unik, berbentuk minangkabau.

Penulis berada di rumah adat Minangkabau
Bapak Hairrussaleh dan bapak Didy dari PT. ARENA Tour & Travel sudah sedia menunggu bersama bapak Anas dan Pak Man yang akan jadi pemandu dan penunjuk jalan. Di sini, susah jika mahu dicari kereta kecil, kebanyakannya kereta besar-besar yang memudahkan perjalanan di tempat yang bentuk muka buminya bergunung-ganang. Kami lalu di bawa menaiki bas ke destinasi seterusnya.

Penulis terpegun dengan rekabentuk rumah Minangkabau.
Kami terus ke Bukit Tinggi yang perjalanannya memakan masa dua jam lebih. Bukit Tinggi adalah tempat peranginan yang berudara dingin. Pemandangan di sepanjang jalan memang mengasyikkan. Rumah berbentuk minangkabau kelihatan di sepanjang perjalanan. Asyik sungguh saya melihat begitu banyak masjid dan surau di sini. Rasa saya beratus buah masjid dan surau boleh dilihat di sepanjang jalan. Tak hairanlah, Padang juga diberi gelaran Tanah Seribu Surau.

Landskap yang menarik
Tengahari itu kami menikmati hidangan Nasi Padang kami yang pertama di rumah makan Pak Datuk. Saya pernah makan Nasi Padang di restoran Minang Ampang dan pada saya Nasi Padang hanyalah makanan biasa yang boleh dicari dimana-mana. Namun pengalaman menikmati hidangan Nasi Padang di bumi minang ini telah mengubah pandangan saya. Saya terpukau dan terpikat dengan keenakan Nasi Padang. Keenakanya yang tersendiri yang tidak serupa dengan Nasi Padang di tempat kita. Masih teringat-ingat keenakanya.

Penulis menikmati hidangan Nasi Padang.
Selepas makan kami terus ke hotel Pusako yang bertaraf empat bintang untuk check in. Jam 2.30 petang kami bertolak ke Perpustakaan Bung Hatta Bukit Tinggi untuk menderma buku-buku DBP di sana. Kedatangan kami di sambut dengan meriah oleh wali kota Bukit Tinggi Kami di beri penerangan oleh kepala perpustakaan tentang sejarah perpustakaan Bung Hatta dan Wali Kota sendiri memberi ucapan selamat datang kepada kami semua.



Penulis disamping potret Bung Hatta
Sebelah malamnya kami makan nasi padang sambil menyaksikan persembahan kebudayaan minang bersama-sama wali kota Bukit Tinggi (Datuk Bandar) di dewan utama hotel Pusako. Hari pertama kami berakhir dengan melabuhkan diri di katil hotel Pusako.
Esoknya kami akan ke Batu sangkar, Pagaruyung dan Tasek Singkarak.

Selasa, 11 November 2008

Aku dan Famemas di Nakhon Ratchasima, Thailand


Kulit dvd Famemas di Sukan Sea, Korat Thailand.

Bumi Korat bergema lagi, tetapi kali ini dengan perang gendang dan sorakan tiga penjuru kumpulan dan penyokong tiga negara - Malaysia, Singapura dan tuan rumah - Thailand.

Lagu 'Inilah Barisan Kita' yang menjadi pembuka sokongan kepada atlit Malaysia di Korat nyata menyentuh perasaan dan membangkitkan semangat pasukan negara untuk terus berjuang membawa pulang pingat emas untuk negara.

Kira-kira 50 penyokong setia Malaysia yang dikenali sebagai Kelab Famemas yang ditubuhkan pada tahun 2002, mula berkampung di wilayah Nakhon Ratchasima, sebaik sampai kira-kira 5 pagi, bagi memberi sokongan moral kepada pasukan negara yang berjuang dalam kejohanan Sukan Sea di Thailand.

Penulis yang berkesempatan menyertai rombongan kumpulan penyokong ini sempat merakamkan perjalanan dan semangat perjuangan, kegembiraan dan kekecewaan yang dikongsi bersama atlit.


Kolaj foto Famemas di Korat

9.30 pagi: Misi menyokong dimulakan selepas kumpulan penyokong Famemas selesai berserapan di hotel penginapan - Hermitage & Resort. Lokasi pertama disasarkan di Institut Teknologi Channapolkan yang menyaksikan berlangsungnya kejohanan wushu membabitkan ratu wushu negara, Chai Fong Ying dan Ng Shin Yii yang menguasai pertandingan dengan merangkul emas dan perak. Malangnya kumpulan penyokong tidak sempat memberi sokongan apabila bas yang kami naiki tersesat hampir sejam .

11.10 pagi: Kami tiba di Institut Chanapolkhan dan kami hanya sempat berbual dengan naib presiden famemas iaitu mr. David Foo, David  Foo sempat bercerita pengalamanya di Ho Chi Minh mengenai karenah penyokong Vietnam yang terlalu fanatik dengan bola sepak dan enggan menerima seandainya pasukan mereka kalah dalam Sukan Sea sebelum ini.

"Ketika itu, perlawanan membabitkan Malaysia dan Vietnam. Mereka turut memberi amaran, andai Malaysia menang, maka, jawabnya kami tidak akan samapai ke hotel penginapan. Cuma nasib baik, kemenangan berpihak kepada tuan rumah.

Itupun keadaan tetap sukar apabila jalan raya dipenuhi penyokong fanatik  yang menunggang matosikal  membanjiri jalan raya sehingga menyukarkan laluan kenderaan lain."

Pengalaman David itu ternyata membuat hati penulis berdebar-debar. Maklumlah ketika itu berlaku pergolakkan kaum di selatan Thailand.


Kolaj gambar Famemas di Korat.

12.50 tengah hari: Perjalanan diteruskan ke Plaza Klang Jomsurang di pusat bandar, bagi menyaksikan pertandingan ping pong antara pemain nombor satu negara - Mohd Shakirin Ibrahim dan wakil tuan rumah. Berbaju kuning biru, kumpulan sorak Famemas ternyata menarik perhatian orang ramai di tingkat atas pusat membeli belah itu apabila masuk ke kawasan pertandingan dengan diiringi paluan gendang, serunai dan kompang yang bergempita.

Serentak itu, perang penyokong mula bermula Famemas dan penyokong tuan rumah saling berbalas sorakan dengan aksi masing-masing. famemas memulakan lagu Inilah Barisan Kita sebelum Mohd. Shakirin memulakan aksi, diiringi sorakan semangat yang lain.

Walaupun pertandingan berpihak tuan rumah. penulis beryukur apabila mendapati penyokong Thailand mungkin tidak 'sefanatik' penyokong Vietnam. Malah, kami tidak diganggu walaupun berjalanan berseorangan dengan lambang 'Malaysia Boleh!'.

3.30 petang: Tiba di Universiti Vongchavalithul yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar. Namun, hasrat memberi sokongan moral terhadapap atlit tarian, terhenti apabila disyaratkan membeli teket dan hanya sebahagian kami yang dapat masuk ke majlis terbabit berikutan jumlah teket yang terhad.

Pada masa sama, kami diberi syarat ketat tidak boleh membuat bising terutama bunyi-bunyian sokongan. seperti drum, trompet dan kompang.

4. petang: Baki 20 ahli rombongan yang tidak menyertai majlis perasmian di dewan utama universiti berkenaan kemudian beralih menyokong pasukan badminton wanita negara yang bertanding di Stadium Permainan Dalaman Universiti Vongchavalitkul.