Khamis, 20 November 2008

Berlibur ke Padang/Bukit Tinggi Indonesia - Hari Kedua


Kolaj berlibur di Bukit Tinggi & Padang Sumatera Barat Indonesia

Pagi ini kami berkira-kira mahu ke Batu Sangkar tetapi kami singgah dahulu ke butik hajjah Rosmah yang berdekatan dengan hotel kami. Sebelum turun bas, Pak Man berpesan kepada kami supaya melihat sahaja proses penyulaman dari anak-anak murid hajjah Rosmah. Jika mahu membeli barang-barangnya, harganya agak mahal namun ibu-ibu dari Malaysia sudah tidak sabar mahu melimpar wang rupiahnya. Pak Man hanya mampu tersenyum sahaja melihat gelagat ibu-ibu dari Malaysia yang sedang bershoping sakan itu.


Penulis tertarik dengan pemandangan di Bukit Tinggi.

Selepas itu kami menuju ke Pagaruyung. Perjalanan menuju ke rumah adat keturunan raja Pagaruyung sangat menarik perhatian saya. Keheningan pagi dan keindahan sawah padinya yang menghijau. Sawah padi di sini ditanam secara berteres di lereng-lereng bukit. Yang menghairankan saya, tanah yang kecil juga ditanam dengan padi. Kata Pak Man, masyarakat Minang memang sudah diajar untuk bercucuk tanam padi dan membela ikan di halaman rumah. Di setiap rumah akan ada sepetak sawah padi, juga kolam ikan.


Penulis di rumah adat Puteri Lindungan Bulan.

Perjalanan diteruskan. Kami melalui jalan yang berselekoh untuk perjalanan seterusnya. Kami singgah sebentar di sebuah perusahaan membuat kopi. Pengujung dihidangkan kopi dan teh secara percuma. Kopi diminum secara tradisional, di dalam tempurung kelapa dan dikacau dengan kayu manis untuk menambah lagi kelazatan rasa aromanya. Memang enak rasanya minum kopi di kawasan sejuk sebegitu. Kami juga mencuba jus Minang yang dicampur dengan buah pinang muda dan telur ayam kampung untuk menguatkan tenaga lelaki.

Sesudah selesai meminum jus Minang dan membeli barangan lain, kami meneruskan perjalanan kerumah adat keturunan raja Pagaruyung (Rumah gadang Putri Silindung Bulan) untuk mengambil gambar yang dikatakan menarik di sana.


Pelancung bershoping sakan di Bukit Tinggi.

Asyik sungguh saya melihat pemandangan di sepanjang jalan, tidak sedar akhirnya kami sudahpun sampai ke tapak istana Pagar Ruyung yang musnah terbakar akibat dipanah petir. Pak Man menceritakan sejarah Istana Pagar Ruyung tersebut. Istana Pagar Ruyung sebelum terbakar adalah binaan semula di tahun 1976, mengantikan bangunan asal yang telah dimusnahkan oleh Belanda. Istana terakhir dimusnahkan Belanda dalam tahun 1804. Istana yang dibina semula ini pernah didiami istana Raja Alam Minangkabau, Sultan Muning Alam. Pagar Ruyung dikatakan sebagai tempat bermulanya keturunan raja-raja Melayu. Kerajaan Pagar Ruyung adalah sebuah kerajaan yang dulunya terletak di Kecematan Tanjung Emas, Kota Batu Sangka, Kabupaten Tanah Datar. Kerajaan ini didirikan oleh Pengiran Adityawarman dari Majapahit pada tahun 1347. Parameswara yang membuka Melaka juga dikatakan mempunyai talian dengan Pengeran Adityawarman.


Bergambar kenangan dengan Hajjah Rosmah.

Kami meninggalkan tapak Istana Ruyung dengan kenangan yang terpahat di hati. Kami melalui makam Raja Pagar Ruyung yang mangkat di tempat lain, tetapi tanahnya di bawa ke sini dan kami terus ke Tasik Singkarak untuk menyaksikan pemprosesan ikan bilis air tawar. Ikan-ikan bilis ini dibeli melalui nelayan yang menangkapnya di Tasik Singkarak ini. Ikan ini akan digoreng atau dikeringkan dan dijual kepada penduduk tempatan dan pelancung dari dalam dan luar negeri. Ikan bilis kering ini boleh dibeli dengan harga 60 ribu rupiah sekilo.


Hotel Posako, Bukit Tinggi.

Sesudah selesai membeli ikan bilis, kami meneruskan perjalanan kami pulang ke Bukit Tinggi. Kami terus ke Pasar Atas untuk 'menambah pelaburan' dan menghabiskan rupiah.


Pak Man, pemandu bas dan pemandu pelancung.

Kami pulang ke hotel Pusako keletihan setelah berbelanja besar. Antara tarikan Kota Bukit Tinggi adalah Jam gadang, ataupun jam besar tinggalan Belanda. Itulah juga pusat Kota Bukit Tinggi yang berhampiran dengan pusat membeli belah di Pasar Atas.

Hari kedua kami berakhir dengan melabuhkan diri di katil hotel Pusako. Esoknya kami akan ke Tasik Meninjau dan Muzium Prof. Dr. Buya Hamka.

3 ulasan:

Yunus Badawi berkata...

Salam kenal. Saya mmg ada rancangan nak bawa keluarga ke Bkt Tinggi tapi belum berkesempatan. Catatan ini boleh menolong bila kami ke sana kelak.

ZulDeanz berkata...

selamat berlibur ke Kota Tinggi....

Amsyahril Syahril berkata...


Assalamualaikum Tuan/Puan.

Salam dari Kita Holidays Travel & Tour Indonesia.
Kalau Tuan/Puan nak melawat ke Indonesia, jangan risau hati sila hubungi kami di:

KITA HOLIDAYS TRAVEL & TOUR INDONESIA
Tour operator & Travel Agency

Kami memberikan pengkhidmatan tour ground handling di beberapa daerah yang favorit untuk di lawati di Indonesia. Kami arrange secara profesional dan dengan penuh rasa kekeluargaan, juga dengan harga tour yang sangat berpatutan seperti ke : Padang dan Bukittinggi Tour, Aceh Tour, Medan Tour, Jakarta dan Bandung Tour, Jogjakarta Tour dan Bali Muslim Tour.

Contact person : Amsyahril
Mobile : +6285263007445
E-Mail : am_holidays@yahoo.com / kita_holidays@yahoo.com / kitaholidays@yahoo.com.