Jumaat, 11 Januari 2013

Menghalang Kenderaan

Semasa penulis bertugas sebagai pengawal keselamatan dahulu, masalah menghalang parkir kereta menjadi suatu kebiasaan. Ketika itu parkir kenderaan di DBP agak terhad. Manakala pihak DBP sering mengadakan majlis rasmi. Manakala tugas pengawal keselamatan adalah menjaga parkir kereta yang dikhas untuk Ahli Lembaga dan pegawai kanan DBP daripada dicerobohi oleh orang luar atau kakitangan DBP sendiri. 

Selalunya, pantang pengawal leka, pasti ada kereta lain yang memasuki parkir khas ini. Bertambah parah apabila tuan punya parkir ini akan menghalang kereta ini dengan meletakan keretanya dibelakang kereta tersebut. Akibatnya pengawal keselamatan juga yang dimarahi oleh pegawai keselamatan. 

Itu dahulu semasa di bangunan DBP lama, parkirnya tidak mencukupi. Kini DBP ada bangunan baru yang digelar Menara Dewan Bahasa. Menara ini memiliki 31 tingkat manakala parkirnya sahaja ada 4 tingkat. Satu tingkat dikhaskan untuk kakitanganya sendiri manakala tiga lagi untuk para tetamu DBP. Ini bermakna, parkir di DBP memang luas dan banyak kosong. Ingatkan sudah ada empat tingkat yang khaskan untuk parkir, masalah menghalang kenderaan tidak akan berlaku lagi. Tetapi sebaliknya. Masih juga berlaku. 

Semasa penulis ada urusan di DBP, ada suatu peristiwa berlaku pada sekitar pertengahan bulan lepas. Pemandu kereta wira telah meletakkan keretanya di parkir yang dikhaskan untuk pegawai kanan DBP. Apabila tuan punya parkir tersebut mendapati parkirnya telah diambil oleh orang lain, beliau bertindak menghalang kereta wira tersebut dengan meletakkan keretanya di belakang kereta wira tersebut. 

Penulis akui pemandu kereta wira tersebut telah melakukan kesalahan, tetapi tindakan tuan punya parkir itu memang tidak wajar. Tindakanya itu telah menyusahkan pengguna-pengguna parkir yang lain. Keretanya itu turut menyusahkan kenderaan lain untuk mencari parkir dan keluar-masuk ke bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Sebagai kakitangan DBP yang mengamalkan slogan Bahasa Jiwa Bangsa, tindakan seperti ini sememangnya tidak wajar. Pegawai tersebut sepatutnya bersikap positif. Mungkin pemandu kereta wira tersebut salah seorang tetamu yang pertama kali datang ke DBP. Ada kemungkinan pemandu kereta wira tersebut tidak perasan parkir di tingkat satu hanya dikhaskan untuk kenderaan kakitangan DBP sahaja. 

Pegawai DBP tersebut hanya perlu membuat aduan kepada pihak keselamatan. Biarkan pihak keselamatan sahaja yang membuat tindakan selanjutnya. Pegawai tersebut tidak perlulah menghalang kereta wira tersebut. Beliau bolehlah parkir keretanya di tingkat dua atau tiga. Penulis dapati parkir di tingkat tersebut masih banyak kosong. Apalah salahnya pada hari tersebut, hanya satu hari sahaja, parkir kereta di tempat awam. Melainkanlah semua parkir di DBP telah dipenuhi oleh kenderaan. 

Apa yang pasti, pihak keselamatan DBP juga yang mendapat susah. Pengawal keselamatan terpaksa mencari pemandu kereta wira tersebut. Bukannya mudah, Menara DBP ada 31 tingkat. Bertambah parah lagi jika pemandu kereta wira tersebut pergi ke tempat lain seperti ke warung mamak contohnya. Apabila sudah bertemu dengan pemandu tersebut, sudah pasti ada berlaku sedikit salah faham dan pertengkaran kecil mungkin akan berlaku. Apabila ada yang terkasar bahasa, pengawal keselamatan juga akan dipersalahkan. 

 Pengajaran dalam peristiwa ini sebenarnya adalah supaya kita jangan bersikap terlalu ego. Tidak elok sebenarnya. Bukannya ego itu salah, penulis sendiri pun ada ego penulis sendiri. Tetapi orang kata biarlah ego bertempat. Ego yang tidak bertempat ini kadang kala boleh memakan diri sendiri. Sikap ego memang ada dalam diri setiap insan. Sikap yang mendorong seseorang tu untuk merasakan dirinya sahaja yang betul, bersikap keras kepala, degil dan mementingkan diri sendiri... Oleh itu kita harus bermuhasabah diri kita sendiri.

Tiada ulasan: