Selasa, 23 Disember 2008

Aku di Korat, Thailand Bhg. 05


Ahli Famemas menuju ke stadium

Memasuki hari keenam di bumi Korat tidak sesekali mengurangkan semangat kami untuk meneruskan perjuangan menyokong dan menyorak untuk atlit Malaysia. Hari demi hari, hubungan dengan ahli baru dan lama di dalam Famemas semakin rapat dan suasana dalam kem kami semakin ceria dan menghiburkan. Apa yang menarik tentang kami di Famemas adalah diversiti yang wujud di dalamnya, daripada bangsa Melayu, Cina, India, Sabah dan sebagainya serta kelainan ideologi politik yang mengukuhkan lagi andaian penulis bahawa sukan adalah elemen penyatu yang paling berkesan. Hidup Sukan!.

Destinasi pertama kami hari ini adalah Dewan Kebkanjana di mana berlangsungnya acara Karate do yang juga merupakan pertaruhan emas terbaik negara setiap kali Sukan Sea. Kedatangan kami tidak menghampakan apabila S. Mahendran telah berjaya menghadiahkan negara pingat emas menerusi kategori bawah 75kg lelaki. Namun begitu seorang lagi atlit negara, G. Yamini tumpas dalam saingan sengit 3-4 kepada atlit dari Vietnam dalam kategori waniata bawah 60 kg.


Pasangan Famemas, teman tapi mesra Shafari dan Renny

Oleh kerana tiada aksi melibatkan Malaysia pada sebelah pagi, kami bergerak menuju ke Stadium Utama di Kompleks Sukan bagi memberikan sokongan kepada atlit gimrama negara. Sebelum itu kami menikmati hidangan makan tengahari, nasi berlaukan ayam masak kicap dan buah-buahan sebelum menghabiskan masa selama sejam untuk membeli belah di pasar. Kesempatan ini penulis untuk membeli sedikit cenderahati yang mulai turun harga.

Penulis mula meminati sukan gimrama semenjak terdedah secara langsung dengan sukan ini pada Sukan Komanwel 1998 di mana Malaysia telah menggondol emas di dalam acara berpasukan menerusi El Regina Tajuddin, Sarina Sundarajah, Carolyn Au Yong dan Thye Chee Kiat. Malaysia merupakan kuasa utama di rantau ini apabila sering berjaya menghasilkan para gimrama yang hebat menerusi program yang diusahakan oleh MGF dan MSN. Kami menyaksikan dua disiplin terakhir dalam acara berpasukan yang bermula semalam iaitu bagi disiplin club dan ribbon dan Malaysia telah muncul pemenang menewaskan tuan rumah yang juga pesaing kuat. Tahniah! Chrystal Lim, Fong Seow Ting, Wan Siti Haniza dan Jaime Lee.t


Kami menaiki lori menjelajah Kota Korat di malam hari

Seterusnya kami menuju ke gelanggang bola keranjang di mana aksi terakhir pasukan wanita menentang menentang tuan rumah menjadi penentu sama ada pingat emas atau perak yang akan dikecap. Setibanya kami di sana, gelanggang telah dipenuhi penyokong-penyokong tuan rumah dan ini tidak melemahkan semangat kami sehinggakan detik kami menjejakkan kaki ke dalam stadium, suasana bertukar sepi seolah-olah mereka terkejut dengan kehadiran kami. Mana tidaknya, kami sentiasa berada di dalam lokasi pertandingan sebelum sesuatu bermula tetapi kali ini kami tiba sedikit lewat dan mungkin telahan awal mereka, kami tidak hadir atau takut untuk hadir telah salah. Dengan serta merta juga para penyokong Thailand bersemangat dan paluang gendang yang rancak mengiringi mereka menjadikan suasana di dalam stadium menjadi pesta.


Kami menikmati urutan kaki di bumi Korat, Thailand

Suasana pesta tidak sama sekali mengurangkan debaran kami apabila pasukan negara sentiasa mengejar pasukan lawan walaupun pada satu masa mendahului. setelah tamat permainan, kedudukan terikat-ikat pada jumlah mata 50 dan memaksa perlawanan dilanjutkan selama 5 minit lagi bagi menentukan pemenang mutlak. Malaysia dan Thailand saling serang menyerang dan lontaran pasukan negara sering tersasar kerana tertekan dengan sorakan kuat dari penyokong tuan rumah. Walaupun begitu, tuah berpihak kepada pasukan negara apabila memenangi perlawanan ini dengan hanya kelebihan satu mata, 61 berbalas 60. secara jujur penulis mengangap detik ini adalah detik terhebat di dalam pengalaman penulis dalam menyokong negara sehingga kini. Malah tangan yang sudah lenguh dek kerana memalu kompang dari awal perlawanan seperti hilang begitu sahaja, wajah kegembiraan dan bangga jelas terpampang di muka setiap ahli Famemas. Tahniah Malaysia!!.


Antara awekz Korat yang mengurut kaki kami

Topik hangat di kalangan kami di Famemas ketika ini adalah sikap sombong dan angkuh yang membelenggu sebilangan pegawai dan atlit negara. Kami di Famemas sangat tidak berpuas hati dengan sikap yang mereka tonjolkan di Korat seolah-olah kehadiran kami seperti tidak dihargai. Manakan tidak hendak menunjukkan muka kepada rakyat sendiripun seperti sesuatu yang sukar untuk dilakukan di dalam hidup, tidak terkecuali juga menteri kita, Dato' Azalina Othman. Insiden semasa perlawanan bola keranjang sebentar tadi menjadi kemuncak kemarahan kami apabila atlit bola keranjang lelaki dan beberapa sukan lain yang duduk di bahagian pertentangan enggan menyertai kami dengan jawapan 'tak payahlah'. Bukan banyak yang kami tagih, hanya sekadar sokongan moral dengan duduk bersorak untuk rakan seperjuangan bersama-sama kumpulan kami. Itupun sukar dilakukan dan apa jelas tergambar adalah keberkesanan program latihan pusat anjuran MSN yang sepatutnya boleh menaikan semangat patriotik negara boleh dipersoalkan. Tambah menyakitkan hati, para atlit negara sekadar duduk rehat dan terlalu relex seolah-olah berharap Malaysia gagal supaya kekalahan pasukan mereka dapat dikongsi bersama. Apabila menang barulah hendak menunjukkan muka tidak malu mereka dan nasib baik menang, kalau tewas pasti stadium ditinggalkan secepat mungkin. Berubahlah Malaysia!.

2 ulasan:

denanz berkata...

urut kaki jer?

ZulDeanz berkata...

hahhahah... yang lebih-lebih tak perlulah diceritakan di sini