Selasa, 13 Mac 2012

Nasi Ayam Penyet AU3

Oleh kerana hampir setiap hari makan yang berasaskan kari di restoran Suberi, perutpun menjadi sebu dan jemu. Hari ini penulis ke AU3 Keramat untuk mencari tempat makan yang lebih menarik. Sedang berlegar-legar di kawasan pangsapuri 3/1, Keramat, penulis dapati sebuah warung tanpa nama yang dipenuhi dengan pelanggan. Penulispun ke warung tersebut dan di dapati setiap pelanggan sedang menikmati nasi ayam penyet. Mungkin warung ini menyediakan Nasi Ayam Penyet sebagai menu utamanya.

Warung Nasi Ayam Penyet tanpa nama.

Melihatkan setiap pelanggan begitu asyik menikmati nasi ayam penyet, penulispun mememesan menu yang sama. Apabila penulis menikmati nasi ayam penyet ini, rasanya boleh tahan juga. Rasanya, lebih kurang sama dengan restoran-restoran ternama yang menyediakan menu utama iaitu nasi ayam penyet. Ayamnya yang besar, panas, lembut dan terasa rempahnya. Memang berbaloi penulis makan nasi ayam penyet warung ini walaupun harganya RM6.00 sepinggan. Serius, nasi ayam penyet ini memang sedap terutama sambal belacannya

Ayam Penyet.

Sejak itu penulis sudah mula meminati menu nasi ayam penyet ini. Penulis tidak pasti adakah benar nasi ayam penyet ini berasal dari Indonesia. Namun apa yang penting di sini penulis ingin kongsikan makanan yang menjadi makanan kegemaran penulis sekarang. Nasi ayam penyet bukannya baru di Malaysia malah telah banyak restoran-restoran yang menjualnya sebagai satu menu utama. Selalunya mereka yang menyediakan makanan ini adalah mereka yang berasal dari Indonesia

Para pelanggan sedang menikmati makan tengahari.

Menunya ringkas sahaja iaitu terdiri daripada nasi putih, sup kosong, tempe, sayur kobis dan ayam. Ayam yang digunakan bukan sebarang ayam tetapi ayam ‘pencen’ yang digoreng dan kemudiannya diketuk-ketuk sehingga penyet, dari situlah ia mendapat nama nasi ayam penyet. Namun apa yang lebih istimewa sebenarnya adalah sambal yang sedikit manis dan pedas. Jika sambalnya tidak sedap, maka nasi ayam penyet ini hilang keistimewaannya. Selain itu ayam digoreng lembut dengan beberapa bahan yang tidak diketahui menambahkah lagi keenakkan makanan ini.

Nasi Ayam Penyet berharga RM6.00 sepinggan.

Selain Nasi Ayam Penyet, warung ini juga menyediakan menu Pecel Lele. Pecel Lele adalah nama sebuah makanan yang terbuat dari ikan lele. Biasanya yang dimaksud adalah ikan lele yang digoreng kering dengan minyak dan lalu disajikan dengan sambal tomat dan lalapan. Lalapan biasa terdiri dari kemangi, kubis, ketimun dan kacang panjang. Makanan ini sangat popular di Jakarta.

Pecel Lele berharga RM5.00 sepinggan.

Pemandangan warung tanpa nama ini agak tersorok dari Jalan AU3 Keramat. Apabila kita melalui hadapan padang bola AU3, anda akan ternampak deretan kedai dan pangsapuri PKNS AU 3/1 di sebelah kanan. Di situ kita akan ternampaklah deretan parking kereta. Dalam banyak-banyak parking tersebut, terselit sebuah gerai yang menjual masakan ala Indonesia iaitu Nasi Ayam Penyet, Pecel Lele dan Nasi Ayam.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Assalamualaikum tumpang tanya ada kerja kosong tak?