Khamis, 17 April 2014

Klinik kesihatan Ampang Berwajah Baharu

Tahun lepas, bermula dari bulan Oktober sehingga bulan Disember Klinik Kesihatan Ampang terpaksa ditutup untuk orang ramai buat sementara waktu kerana kerja-kerja pengubahsuaian bangunan klinik kesihatan ini. 
Pintu masuk Klinik Kesihatan Ampang.
Mengambil nombor giliran di pintu masuk Klinik Kesihatan Ampang.
Para pesakit diminta mendapatkan rawatan lanjut di klinik kesihatan yang berhampiran seperti di Klinik Kesihatan Cheras, Klinik Kesihatan Hulu Langat dan Klinik Kesihatan Datuk Keramat. Penulis sendiri terpaksa ke Klinik Kesihatan Hulu Langat untuk mendapatkan rawatan.
Resit nombor giliran. Kini tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan rawatan.
Suasana Klinik Kesihatan Ampang.
Setelah tiga bulan, Klinik Kesihatan Ampang ini dibuka semula kepada orang ramai dengan berwajah baharu. Klinik ini kelihatan lebih cantik, kemas dan bersih kerana keseluruhan bangunannya telah di cat baharu. Bukan sahaja dicat baharu, suasana di dalam bangunan seperti diruang menunggu sangat menyelesakan kerana alat penghawa dingin yang semakin sejuk, dinding bangunan klinik dihias dengan cantik dan jumlah kerusi yang mencukupi. 
Kuanter makmal yang semakin cantik.
Ruang menunggu yang selesa.
Masa pesakit menunggu untuk mendapatkan rawatan dari doktor/pegawai perubatan juga semakin singkat kerana sistem nya yang semakin teratur dan kakitangannya yang bertambah mahir dan semakin cekap. Begitu juga masa pesakit menunggu untuk mengambil ubat juga semakin singkat kerana kecekapan kakitangan farmasi dalam menjalankan tugas dan penambahan beberapa buah kuanter di bahagian farmasi. Penulis dapati katil, kerusi dan meja di bilik rawatan juga telah ditukar baharu.
Bilik rawatan dan pengambilan darah.
Penambahan kuanter di farmasi yang memudahkan pesakit untuk mendapatkan ubat yang lebih cepat dan pantas..
Semenjak pengubahsuaian bangunan Klinik Kesihatan Ampang ini, layanan kakitangan klinik ini semakin baik. Dari kuanter pendaftaran sehingga ke bilik rawatan, semuanya memberi layanan yang baik, walaupun mereka terpaksa melayan karenah pesakit yang semakin ramai datang. Yang membuatkan penulis happy, penulis dapati sebahagian jururawat dan pembantu perubatan boleh bergurau senda bersama-sama penulis dan pesakit-pesakit yang lain. 
Kuanter pemeriksaan tekanan darah tinggi dan paras gula dalam darah untuk pesakit Diabetic.
Ruang menunggu untuk pesakit gigi.

Ruang menunggu untuk ibu-ibu mengandung yang semakin selesa.
Cuma, doktor atau pegawai perubatannya sahaja yang agak garang dan serius ketika merawat penulis. Tiada senyuman dari wajah mereka. Senyuman adalah satu sedekah. Senyuman daripada pegawai perubatan adalah satu terapi untuk para pesakit. Sekurang-kurangnya senyuman dari seorang pegawai perubatan dapat mengurangkan kesakitan atau penderitaan yang sedang dialami oleh pesakit tersebut.
Tandas yang lebih bersih dan selesa.
Kemudahan tandas di luar bangunan juga disediakan.
Pintu masuk untuk rawatan kecemasan.
Peristiwa dan foto-foto di atas adalah berdasarkan pengalaman penulis semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ampang. Penulis tidak pasti kemudahan dan layanan di klinik-klinik kesihatan yang lain. Penulis berharap, di klinik-klinik lain mendapat kemudahan yang sama seperti di Klinik Kesihatan Ampang, terutama klinik kesihatan di luar bandar.

Rabu, 9 April 2014

Tetiba Sahaja Teringin Pekena Mee Sup Ayam

Rasanya blog ini sudah menjadi blog makanan pula. Entah kenapa semenjak kebelakangan ini penulis tiada idea hendak menulis cerita-cerita lain. Kebanyakkan yang berlegar-legar dikepala penulis adalah berkisar tentang makanan sahaja. Tetapi apabila asyik menulis tentang makanan macam best pula…
Bahan-bahan Mee Sup.
Mee Sup ini adalah hidangan makan malam semalam. Entah kenapa secara tiba-tiba penulis tiada berselera hendak makan nasi, so penulis pun meminta isteri memasakkan Mee Sup sahaja. Isteri sangat gembira kerana memasak Mee Sup, sangat senang dan simple!! Isteri penulis memasak mengikut apa yang ada di dalam peti sejuk sahaja. Bahan-bahannya pun tidak banyak!. Mee Sup seperti ini memang disukai oleh my doter, sebab tidak banyak sayur-sayuran. Tetapi isteri lebihkan daging ayam supaya lebih sedap dan lazat…
Sambal Kicap.
Resepi Mee Sup 
  • Daging Mee kuning secukupnya – di celur 
  • Taugeh 
  • Daun bawang 
  • Daun sup 
  • Bawang goreng 
Untuk kuah sup 
  • 500 gram daging ayam 
  • 1 sudu besar lada putih – dikisar 
  • 4 biji bawang merah- dikisar 
  • 1 labu bawang besar – dikisar 
  • 5 ulas bawang putih -dikisar 
  • 1 1/2 inci halia – di kisar 
  • Rempah 3 sekawan ( kayu manis, bunga lawang, buah pelaga ) 
  • Air untuk kuah secukupnya 
  • Garam 
Mee Sup.
Serbuk perasa

Sambal kicap Cara penyediaan 
  1. Rebus daging ayam. 
  2. Tumis bahan tumbuk hingga wangi dan kekuningan. 
  3. Kemudian curahkan bahan tumis bersama minyak-minyaknya ke dalam rebusan daging tadi… 
  4. Masak lagi hingga mendidih dan sesuaikan rasa. 
  5. Hidangkan mee kuning bersama kuah sup, taugeh, daging ayam, daun bawang, daun sup, bawang goreng dan sambal kicap.

Selasa, 8 April 2014

Zombi Kilang Biskut

Ingatkan sedang sibuk menangani buku teks, masa untuk menonton movie agak terhad, rupa-rupanya masih berpeluang menonton kerana bahan PMS sedang disemak oleh pihak kementerian. Kelmarin, penulis ke pawagam MBO Glaxy Ampang untuk menonton filem Zombi Kilang Biskut. Penulis memang tidak merancang menonton filem ini kerana pergi pawagam main terjah sahaja. Kebetulan pada masa itu filem Zombie Kilang Biskut hendak ditayangkan.
Poster filem Zombi Kilang Biskut. foto google.
Filem komedi terbaru arahan Mamat Khalid bertajuk “Zombi Kilang Biskut” sedang ditayangkan di 88 lokasi pawagam seluruh Malaysia dan Brunei sekarang. Filem terbitan Enjit Semut Sdn Bhd dan edaran TGV Pictures ini dibintangi oleh pelakon-pelakon hebat seperti Awie, Usop Wilcha, Shuk SYJ, Man Kadir, Delimawati, Dayana Roza, Eina Azman, Soffi Jikan, Wani NS, Ilya Buang, Adam AF, Zainuri Misfar dan ramai lagi.
Antara pelakon filem Zombi Kilang Biskut. Foto Google
“Zombi Kilang Biskut” mengisahkan tentang Usin (Awie) telah kembali ke Kampung Pisang dan bersetuju untuk bekerja sebagai technician di Kilang Biskut. Hari pertama bekerja, Usin berasa pelik apabila ternampak kelibat berupa zombi di kilang itu. Usin memaklumkan kepada Sofea (Dayana Roza) jika berlaku apa-apa kejadian pelik di kilang tersebut. Sofea serba salah untuk memberitahu apa yang sedang dilakukan oleh Dr. Sofi (Soffi Jikan) kepada Usin. Keadaan lebih meruncing apabila ramai pekerja yang pengsan di kilang itu. Huru-hara dan kucar-kacir tercetus apabila zombi mula menyerang kembali dan dalam masa yang sama Kamariah (Eina Azman) ingin mencari Usop yang telah membunuh beliau. Mereka perlu berhadapan dengan zombi dan pontianak dalam masa yang sama.
Teket menonton filem Zombi Kilang Biskut.
Apa yang terjadi seterusnya? Adakah Usin, Usop, Sofea, Wahab B dan Pian berjaya mengalahkan zombi-zombi tersebut? Siapa pula Kamarian yang mengganggu mereka? Segalanya terjawab dengan menyaksikan filem “Zombi Kilang Biskut”. Anda boleh menonton filem ini di pawagam berdekatan untuk mengetahuinya secara lebih lanjut. Bagi penulis, filem ini ok, cuma tidak sehebat filem terdahulu seperti Zombi Kampung Pisang. Filem ini agak meleret sehingga sedikit membosankan penonton, tetapi apabila ada scene yang kelakar, baharulah penonton ketawa.

Isnin, 7 April 2014

Air Oh Air....

Semenjak bulan Mac, kawasan perumahan penulis terlibat dengan program catuan air oleh pihak Syabas dan Kerajaan Negeri Selangor. Oleh itu, kami terpaksalah berjimat cermat dalam pergunaan air. Hendak buat macam mana, merungut pada siapa? Siapa yang mahu mendengar rungutan kami?. Jadi, terpaksalah kami bersabar dan terus bersabar...
Catuan air di Selangor - Foto Google.
Sepanjang bulan Mac, kami masih lagi boleh bersabar kerana air mati dan hidup semula mengikut jadual tetapi apabila masuk bulan April, jadualnya sudah mula jadi tidak menentu. Kadang kala sehingga tiga hari kami ketiadaan air. Sehingga air simpanan di tangki bilik air dan semua air simpanan di dalam tong, baldi dan segala jenis bekas yang boleh menyimpan air, telah habis kami gunakan.
Air oh air...
Apabila musim air dicatu, isteripun jadi malas hendak memasak, makanan pun siap guna pinggan pakai buang. Melampau sungguh bunyinya tetapi tidak sanggup hendak biarkan pinggan mangkuk disinki selama lebih dua hari. Bak kata rakan sepejabat kalau ada kuali pakai buang memang dia beli punya, nampak sangat ketara jadinya apabila tiada air.
Segala macam bekas air sudah penulis beli.
Rumah penulis setakat ini bil air bukannya tinggi mana pun, paling tinggi hanya RM5.00 sahaja tetapi selalunya percuma sahaja. Jika kena bayar pun cuma RM5.00 itu pun sebab penulis kerap membasuh kenderaan atau pun siram pokok bunga di halaman rumah. Biarlah lagipun bukan banyak mana pun kena bayar. Tapi terpaksa jadi mangsa catuan air juga.
Empangan kekurangan air. - Foto Google.
Paling tidak boleh tahan sejak masuk bulan April ini hampir setiap hari hujan turun dengan lebat. Seronok tidak terkata. Ye... lah! mesti lepas ini tiada lagi catuan air. Tetapi sangkaan penulis meleset sebab catuan ini akan disambung sehingga hujung bulan April ini. Sudah penat sangat hendak berjimat cermat air yang memang sudah boleh dikatakan tersangatlah berjimat cermatnya.
Kuala Lumpur sudah lima hari berturut-turut hujan lebat.
Sebab apa penulis kata jimat? Semenjak kebelakangan ini isteri sudah tidak masak setiap hari, baju basuh sekali atau dua hari sekali sahaja. Hendak kata rajin siram longkang pun tiada maknanya, basuh kenderaan lagi lah jauh sekali. Penulis pula sekarang sudah mula kerap ulang alik ke tandas tetapi apa boleh buat pergi juga lah, takkan hendak tahan pula. 

Penulis pun tersangat mengharapkan catuan air ini dihentikan sebab bagi penulis lebih banyak menyusahkan lagi memudahkan. Tidak pasti mengapa masih disambung sedangkan hujan turun semakin kerap dan lebat. Semoga Allah membantu penulis dan orang lain bersabar menghadapi ujian ini.

Jumaat, 4 April 2014

Selamat Hari Lahir ke 17 tahun Nur Atikah Zulkifli

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera semua. 

Hari ni merupakan hari ulang tahun kelahiran anak penulis Nur Atikah ke 17 tahun (4.4.2014). Syukur alhamdulillah anak penulis kini sudah remaja dan dewasa.
Happy Birthday...
Masih teringat lagi di saat isteri melahirkan dan membesarkannya. Eika memang tidak banyak karenah sejak dilahirkan sehinggalah saat ini. Moga anakku Eika menjadi anak yang solehah yang sentiasa membahagiakan dan membanggakan ayah dan ibumu. 

Semoga dengan bertambahnya usia, menjadikan kamu insan yang mulia dan semakin disayangi Allah. Ayah dan emak sentiasa mendoakan semoga Eika dipanjangkan usia, dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan berpanjangan serta berjaya didunia dan diakhirat. 

 Aaminnnn..

Khamis, 3 April 2014

Tetiba Teringin Pekena Nasi Ayam Kampung

Semalam, penulis ada kerja di Hulu Kelang. Semasa dalam perjalanan pulang, tiba-tiba sahaja perut penulis terasa lapar. Penulis pun singgah makan tengahari di Medan Selera Jalan Raja Muda, Kampung Baru. Entah kenapa penulis teringin sangat hendak makan nasi ayam kampung. Bukan nasi ayam tetapi nasi putih dimakan bersama dengan ayam kampung goreng.
Orang ramai sedang menikmati Nasi Ayam Kampung.
Budu campur Tempoyak?
Sampai sahaja di medan selera, sudah ramai pelanggan sedang menikmati nasi ayam kampung di gerai tersebut. Dari jauh penulis sudah ternampak piring-piring berisi budu yang telah disusun banyak di atas meja. Memang stail orang kelate macam ini, pinggan yang berisi ulam-ulaman pun sudah tersedia. Kita hanya mengambil yang mana berkenan sahaja. Kali pertama penulis makan nasi berlauk bersama budu bercampur tempoyak. Selalunya penulis makan bersama sambal belacan bercampur tempoyak sahaja.
Gerai Nasi Ayam Kampung.
Pelbagai lauk yang menyelerakan ada.
Sesudah mengambil nasi putih dan ulam yang dicicah dengan budu yang dicampur dengan tempoyak, ditambah lagi dengan sambal ikan bilis dan ulam petai... memang citarasa Kelantan yang sangat klasik. Sebenarnya penulis hendak makan banyak lagi tetapi apabila teringatkan kesihatan yang tidak mengizinkan, maka abaikan lah sahaja niat itu.
Nasi Ayam Kampung yang sungguh menyelerakan.
Suasana di dalam Medan selera.
Set lauk yang penulis makan, sudah memadai. Penulis amat berpuas hati kerana ada ayam goreng kampung yang terbaik.... yummy!. Penulis makan seorang baharu kena RM10.00 sahaja... Boleh tahan lah harganya tetapi berbaloi sebab makanannya sedap dan memenuhi citarasa penulis
Kali pertama mencuba Budu bertemu Tempoyak.
Habis licin!....
 Next time hendak terjah lagi ke medan selera ini sebab... hendak makan nasi ayam binjai pulaks!..

Selasa, 1 April 2014

Laksa & Cendol

Baru-baru ini, penulis terjumpa sebuah gerai di tepi jalan yang menjual Cendol dan Laksa. Cendol dan Laksanya hendak dikatakan sedap sangat tidaklah tetapi sekadar boleh tahan sedapnya. Kebetulan, penulis dalam perjalanan ke Menara MPAJ untuk membayar cukai pintu dan ternampak sebuah gerai di tepi jalan di Taman Kencana. Cuaca yang panas dan kebetulan perut penulis terasa lapar, apalagi penulis pun terjah lah ke gerai tersebut untuk pekena Cendol dan juga Laksanya.
Gerai Cendol dan laksa di Cheras.
Gerai ini terletak di hadapan rumah teres di Taman Kencana, bersebelahan dengan lampu isyarat yang menuju ke Pandan Indah. Tempat meletak kenderaannya luas tidak menjadi masalah untuk para pelanggan untuk menikmati Cendol dan Laksa di gerai ini. Tempat makannya juga agak selesa tetapi suasananya agak panas apabila waktu tengahari. Apabila kita sedang menikmati Laksa sambil mengirup Cendol kita akan dapat melihat pelbagai ragam dan jenis kenderaan yang lalu lalang di jalan raya, tahu-tahu habis semangkuk cendol dan sepinggan laksa yang kita makan.
Gerai laksa dan rojak.
Cendolnya tidak terasa susunya sahaja tetapi ada terasa lemak santannya. Keenakkan Condol ini memang kena dengan selera penulis. Cendolnya kelihatan biasa-biasa sahaja tetapi meriahkan warnanya. Kacang Merah yang besar itu banyak pula diletaknya. Isi cendolnya banyak, jadi terasa makan isi cendolnya berbanding sesetengah tempat hanya kuah sahaja dan isi cendolnya hanyalah seurat-dua sahaja.
Laksa.
Penulis sangat teruja apabila melihat cara mereka menyediakan Laksa ini. Aromanya sungguh menggiurkan sehingga menaikan selera penulis.... hehehe.... Sehingga penulis tidak sabar-sabar hendak menghirup kuahnya. Laksa Kedah yang tidak banyak beza dengan Laksa Perlis. Laksa yang kuahnya berwarna agak pucat kecoklatan dengan ulam daun selom, timun dan bawang besar. Anda boleh menambah cili padi dan otak udang yang didatangkan secara berasingan.
Cendol.
Penulis sangat berpuas hati apabila makan laksa di gerai ini. Laksanya berharga Rm3.50, Cendol Biasa berharga Rm1.70 dan Cendol Durian rasanya berharga Rm2.50 (penulis agak sahaja sebab sudah lupa). Di gerai ini menu makananya hanya ada Laksa dan Rojak sahaja. Rojak nya boleh tahan juga sedapnya. Tetapi masih tidak boleh lawan dengan rojak mamak. Minumannya banyak pilihan, ada minuman sejuk dan panas selain Cendolnya yang sedap itu. Penulis lupa nama gerai ini nanti jika jumpa bisnes kad gerai ini penulis akan lekatkan di blog ini.