Selasa, 9 Jun 2009

Mandi Manda di Hutan Lipur Sungai Congkak

Hari minggu yang lalu penulis sempat berkunjung ke Hutan Lipur Sungai Congkak, Seperti di Hutan Lipur Ampang, di sini pengunjung juga dikenakan bayaran masuk dan meletak kenderaan. Cuma yang membezakan, hutan lipur ini tidak perlu berjalan jauh ke lokasi perkelahan dan penyelenggaraan kemudahan asasnya pula bolehlah dianggap baik.


Anakda Nur Atikah yang sangat teruja untuk berkelah di Sungai Congkak ini.

Kekita hendak masuk, penulis dikenakan bayaran meletak kenderaan RM 2 dan bayaran masuk ke dalam Sg Congkak ialah RM 1 seorang. Sungai Congkak berada di bawah pengurusan swasta iaitu Tourism Selangor Sdn. Bhd. Walaupun penulis dikenakan bayaran, penulis berpuas hati hati kerana hutan lipur kelihatan agak bersih dan kemudahan asasnya diselenggara dengan baik.


Pintu masuk ke Sungai Congkak.

Hutan Lipur Sungai Congkak terletak di Hutan Simpan Hulu Langat yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Hutan lipur ini mempunyai sungai yang cantik dan air yang jernih mengalir dalam kawasan hutan lipur ini. Di sepanjang sungai ini terdapat air yang mengalir dicelah-celah bongkah batu kecil dan besar dan sesuai untuk perkelahan.


Sungai Congkak memberi ketenangan jiwa kepada adik Nur Atikah.

Secara kebetulan, semasa penulis berkunjung ke hutan lipur ini, pada hari cuti umum dan penulis dapati ramai pengunjung sehingga di sepanjang sungai ini dipenuhi oleh orang ramai yang sedang mandi bersama keluarga masing-masing.


Sekumpulan pelajar UNISEL sedang melakukan aktiviti sukaneka.

Para pengunjung bukan sahaja bermandi-manda malah ada yang berkhemah sambil berbeku di tepi sungai. Penulis lihat, kebanyakkan pengunjung membawa makanan sendiri dari rumah. Memang sungguh mengasyikan apabila menjamu selera sambil menyaksikan orang ramai mandi di sungai. Setelah selesai menjamu selera, jangan lupa pula membuang sisa makanan ke tempat sepatutnya. Ingat! kebersihan adalah tanggung jawab kita semua.


Sekumpulan remaja sedang mengadakan aktiviti sukan air.

Suasana bertambah meriah apabila ada sekumpulan keluarga dan remaja melakukan aktiviti sukaneka sama ada di darat atau di air. Kebetulan penulis membawa kamera, sempatlah merakamkan suasana menarik dan meriah itu. Bagi penulis, di hutan lipur ini menjanjikan panorama indah, flora dan fauna yang menggamit pandangan dan ketenangan jiwa kepada para pengunjung.


Surau adalah salah satu kemudahan asas yang diselenggara dengan baik.

Penulis dapati ada banyak kemudahan asas yang terdapat di sini iaitu tapak perkhemahan, tapak perkelahan, chalet, padang permainan, astaka, surau dan pondok rehat, medan selera, pentas dan dewan terbuka, tandas, tempat letak kenderaan dan sebagainya. Kesemua kemudahan asas ini diselenggara dengan baik.


Para pengunjung memenuhi setiap ruang di Sungai Congkak.

Penulis difahamkan oleh petugas di situ, pengunjung boleh mendaki bahagian tertinggi di hutan lipur tersebut iaitu Bukit Chenuang setinggi lebih kurang 850 meter dari aras muka laut. Sungai Congkak merupakan pintu masuk bagi mendaki Bukit Chenuang ini.


Anak-anaklah yang paling seronok di Sungai Congkak ini.

Semasa dalam perjalanan pulang, penulis dapati masih ramai lagi pengunjung berpusu-pusu hendak masuki ke hutan lipur ini. Kenderaan ini berbaris panjang sehingga dua kilometer untuk menunggu giliran meletakkan kenderaan masing-masing.

2 ulasan:

Unknown berkata...

Dekat dgn rumah pun saya tak pergi lagi! huh!

S.YanaZ berkata...

Cuti nih gua tak g memana pon selain MidValley...
*Abus bizi*
waaaaaaaaaaaa!