Sabtu, 14 Mei 2011

Taman Laut Sabah

Oleh kerana buku yang penulis tangani memerlukan beberapa keping foto berkenaan pulau - pulau di Sabah, kami berpeluang mengunjungi ke Tunku Abdul Rahman Park yang terdiri daripada gabungan lima buah pulau iaitu: Pulau Gaya, Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sulug dan Pulau Sapi. Namun Begitu, kami hanya berpeluang melawat dua buah pulau sahaja. Terlebih dahulu, kami telah melawat Pulau Manukan dengan menaiki bot dari jeti Kota Kinabalu selama lebih kurang 15 minit. Pemandangan di pulau ini sangat cantik dan terdapat pelbagai jenis ikan yang cantik.

Di jeti ke Taman Laut Sabah.

Dalam perjalanan ke Pulau Manukan.

Penulis di jeti Pulau Manukan.

Pulau Manukan merupakan salah sebuah pulau yang tercantik di Kota Kinabalu Sabah. Pulau ini menjadi daya tarikan, bukan sahaja kepada pelancong tempatan malahan antara distinasi pilihan pelancong luar negara. Pulau Manukan terletak di perairan Kota Kinabalu. Sekiranya dari Pasar Tamu Gaya, kita boleh berjalan kaki ke jeti ke Pulau Manukan dan perjalanan hanya mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja. Jika menaiki teksi, sebut sahaja jeti ke Pulau Manukan, tahulah pemandu teksi di mana lokasinya.

Sea Walking atau mini kapal selam.

Air yang jernih.

Pantai yang cantik.

Di pulau ini, pelbagai aktiviti di air dapat dijalankan. Salah satu aktiviti yang penulis tertarik ialah aktiviti “Sea Walking”. Menurut rakan penulis, peserta akan menaiki bot dan akan diturunkan 5 meter ke dalam laut. Setelah itu, mereka dapat melihat keindahan di dalam laut dan juga melihat pelbagai jenis ikan. Untuk membolehkan mereka berada di dalam laut selama 30 minit untuk aktiviti tersebut, mereka perlulah memakai topi khas dan dibekalkan dengan bekalan oksigen.

Menanti bot datang.

Menaiki bot ke Pulau Gaya.

Perkampungan di Pulau Gaya.

Selepas puas menikmati pemandangan di Pulau manukan, kami disyorkan melawat ke Pulau Gaya pula. Pulau Gaya adalah pulau terbesar dalam lingkungan Taman Tunku Abdul Rahman (TTAR) yang meliputi lima pulau di sekitar 3 - 8 km dari Kota Kinabalu, Sabah. Selain Pulau Gaya, terdapat empat lagi pulau lain yang dikategorikan dalam TTAR iaitu Pulau Manukan, Pulau Mamutik, Pulau Sapi dan Pulau Sulug. Gaya dalam bahasa Bajau adalah ‘gayo’ bermaksud besar.

Kanak-kanak di Pulau Gaya.

Pemandangan di Pulau Gaya.

Di Pulau Gaya juga ada Masjid Terapung.

Pulau Gaya banyak dihuni oleh orang Bajau di mana kebanyakan rumah mereka adalah terletak atas air. Untuk ke Pulau Gaya, anda boleh mendapatkan perkhidmatan penduduk tempatan yang selalu berulang-alik dari KK ke Pulau Gaya. Bot-bot kecil penduduk tempatan (yang kebanyakannya adalah orang Bajau) banyak beroperasi di tebing perairan berhampiran kompleks membeli-belah dengan kadar tambang RM1.50 sehala. Jika anda melawat perkampungan di sini, anda dinasihati berhati-hati dengan penduduk pulau tersebut yang kebanyakanya pendatang Filipina

Tiada ulasan: