Sabtu, 12 September 2009

Kenangan Balik Raya

Rumah pusaka penulis yang kini menjadi kenangan.

Hanya seminggu sahaja lagi kita sudah hendak menyambut Hari Raya Aidilfitri. Masih ada beberapa keping kad raya lagi yang akan dihantar oleh penulis kepada mereka-mereka yang berkaitan. Jika tidak silap jangkaan, rakan-rakan cabaran Ramadhan telah menerima kad raya seperti en Wan Saipu, Othman, Eidi, Nazri, Hafidz dan puan Eatikah. Yang lain mungkin terlewat sikit kot.

Bercerita pasal balik kampung memang ramai yang seronok terutama yang sudah lama tidak menjenguk kaum keluarga di sana. Almaklumlah komitmen yang tinggi sukar sekali hendak meluangkan masa. Ada yang telah awal-awal menempah tiket bas, keretapi dan kapal terbang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing. Penyewa rumah bapa mertua penulis pun akan balik ke kampungnya di Indonesia. Harap-harap mereka selamat pergi dan kembali..

Ini yang tidak sabar rasanya penulis hendak pulang ke kampung. Ops.., kenapa pula si Zul ni? Dia kan selalu balik kampung. Hehehe... apa tidaknya kampung penulis dekat sahaja dengan Kuala Lumpur. Hanya tiga jam sahaja jika memandu kenderaan dari Ampang ke Sungai Besar. 

Seingat penulis, suasana balik kampung, kali terakhir dirasai kira-kira pada 22 tahun yang lalu. Ketika itu penulis masih belajar di Kelang, Selangor. Pernah mengalami kenangan hampir ditinggalkan bas express ketika di Klang. Nasib baik, apabila sampai sahaja di bus stand Klang, bas express tersebut baru hendak bergerak. Kalau tidak, pastinya peulis beraya di bus stop hehehe...

Ketika bujang, selalu juga mengalami suasana balik keseorangan dengan menunggang motosikal Suzuki RC80 dari Kuala Lumpur ke Sungai Besar, Selangor. Kadang-kadang terasa cuak juga. Manalah tahu terjadi sesuatu yang tidak diingini di pertengahan jalan. Syukur alhamdulillah tidak apa-apa yang berlaku 

Ops... baru penulis teringat, ada satu lagi kisah ketika hendak balik dari kampung. Ketika memandu, motosikal penulis pancit di pertengahan jalan. Nasib baiklah ketika itu sudah berhampiran dengan sebuah bengkel motosikal di bandar Kuala Selangor. Jika tidak, pasti penulis berpeluh menolak motosikal hingga ke Kuala Lumpur.

Bermula hari Isnin ini sehingga hari Ahad, 27hb September ini, penulis akan bercuti. Bukan kerana penulis berhari raya lebih awal, tetapi pada minggu hadapan penulis perlu menghantar anak ke sekolah agama kerana beliau akan menghadapi peperiksaan PSRA. 

Penulis akan balik kampung pada malam hari raya. Ini adalah kerana isteri penulis perlu menyiapkan tempahan baju raya yang agak banyak tahun ini.

Bagaimana pula dengan anda? Seronok ke hendak berhari raya? Ada kenangan pahit manis ketika hendak balik raya?. Kepada rakan-rakan yang memandu untuk balik Kampung.. ” Berhati-hati di Jalanraya, Ingat Yang Tersayang”

Tiada ulasan: