Sabtu, 5 September 2009

Majlis Mohon Restu

Semalam, penulis dan isteri ke SK Ampang Campuran untuk menghadiri Majlis Mohon Restu sempena murid-murid tahun 6 yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pada 8hb hingga 10 hb September ini. Secara kebetulan anak penulis, Nur Atikah merupakan salah seorang calon peperiksaan tersebut.


Seramai 181 calon UPSR di SK Ampang Campuran tahun ini.

Majlis Mohon Restu ini bermula pada jam 8.30 pagi di Dataran Minda sekolah tersebut. Aturcara majlis ini dimulakan dengan ucapan dari guru penyelaras tahun 6 iaitu cikgu Norhayati binti Abu Bakar. Suasa menjadi pilu apabila cikgu Norhayati menitiskankan air mata ketika memberi ucapan. Beliau amat menyayangi semua murid tahun 6 sehingga menganggap mereka semua seperti anak beliau sendiri. Beliau amat sedih apabila terpaksa akan berpisah dengan anak-anak muridnya nanti. Penulis turut menitiskan air mata dan terharu apabila mendengar pengakuan guru Norhayati itu.


Ibu bapa mengambil tempat duduk di belakang murid-murid calon UPSR 2009.

Majlis ini diteruskan dengan ucapan guru besar sekolah SK Ampang Campuran iaitu Puan Hajah Che Hatijah Mohd. Ibrahim. Antara ucapan guru besar adalah seperti berikut:
  • Hidupkan Suasana-Ibu-bapa ,guru-guru dan murid-murid hendaklah sama-sama menghidupkan suasana bersedia menghadapi peperiksaan.
  • Tekanan-Walaupun UPSR penting,tetapi ibu-bapa dan guru-guru tidak seharusnya memberi tekanan yang berlebihan kepada anak-anak kerana ini akan mempengaruhi cara pemikiran dan menimbulkan tekanan jiwa pada masa akan datang.
  • Ibu-bapa-Peranan ibu-bapa adalah memastikan kehidupan anak-anak mereka lebih baik pada masa akan datang dan membantu anak-anak mencapai kejayaan yang cemerlang.
  • Perangsang-Peransang adalah penting untuk mendidik anak-anak dan mendorong mereka mencapai kejayaan yang gemilang.
  • Proses Peperiksaan-Proses peperiksaan adalah proses biasa dalam pendidikan.Oleh itu ibu-bapa harus memberi sentuhan dan penenang kepada anak-anak.Jangan biarkan anak-anak menghadapi beban peperiksaan sendiri.Tanya dan ambil cakna masalah yang dihadapi oleh anak-anak.
  • Jangan Kecewa – Setelah berusaha dengan bersungguh-sungguh, jangan kecewa dengan keputusan yang diperolehi oleh anak-anak.UPSR hanyalah Ujian pertama yang perlu ditempoh dalam proses pendidikan yang masih panjang.
  • Harapan-Semoga semua murid mendapat pendidikan yang terbaik dan mencapai kejayaan yang bermakna dalam hidup mereka.
  • Ibu-bapa diminta jangan membawa anak-anak ke tempat tumpuan orang ramai seperti pasar Ramadhan dan pasaraya untuk mengelakkan jangkitan H1N1.


Penulis bersama dengan kaum bapa yang lain mengambil tempat duduk.

Acara seterusnya dengan ucapan YDP PIBG iaitu En. Khadri Nayan. Antara ucapannya adalah seperti berikut:
  • Memberi semangat kepada semua murid supaya bersedia menghadapi peperiksaan dari segi mental dan fizikal.
  • Dengan kedatangan ibu bapa di majlis ini, diharap dapat memberi semangat untuk meningkatkan pencapaian anak mereka.


Cikgu Norha memberi ucapan.yati Abu Bakar

Kemudian tiba giliran Mantan YDP PIBG iaitu Tuan Haji Rajeli Ahmad atau dikenali dengan bapa angkat sekolah ini pula memberi ucapan. Antara ucapanya seperti beriikut:
  • Peranan Ibu-bapa –Ibu-bapa mempunyai peranan yang penting dalam mendidik anak-anak mereka menjadi manusia yang berguna kepada diri sendiri dan masyarakat.
  • Pendidikan Ibu bapa –Tahap pendidikan ibu bapa tidak penting dalam menjana kejayaan anak-anak mereka.Apa yang penting,mereka sedar dan mengambil perhatian serta memberi dorongan agar anak-anak mereka boleh berjaya.
  • Terapkan Ilmu Agama- Ilmu agama bukan sahaja dipelajari di sekolah,malah terlebih dahulu perlu diterapkan dalam kehidupan seharian.Ibu bapa hendaklah memastikan anak mendapat didikan awal yang sebaik-baiknya di rumah bagi menjamin kejayaan hidup mereka di dunia dan di akhirat.
  • Sokongan Ibu-bapa-Ibu bapa hendaklah sentiasa menyokong dan mendoakan anak-anak mereka.Tanpa sokongan dari ibu-bapa, sukarlah untuk mencapai kejayaan yang gemilang.


Guru Besar, Puan Hajjah Che Hatijah memberi ucapan.

Atur cara seterusnya ialah penyampaian hadiah kepada 30 orang murid tahun 6 yang di “target” oleh pihak sekolah yang akan mendapat keputusan 5A untuk peperiksaan UPSR nanti. Menurut pihak sekolah, sasaran ini adalah berdasarkan kepada keputusan peperiksaan percubaan tempohari. Sebenarnya penulis tidak berapa setuju dengan acara ini. Bukan kerana anak penulis tidak diberi sasaran pihak sekolah, tetapi cubalah bayangkan, apa pula perasaan ibu bapa dan murid-murid yang tidak beri sasaran. Pastinya mereka merasa kecewa dan semangat mereka semakin menurun. 


Penulis bersalaman dengan anakda dan memeri mohon restu.

Majlis diakhiri dengan semua murid tahun 6, guru, jawatankuasa PIBG, bapa angkat dan ibu bapa berbaris dan memulakan majlis mohon restu dan pemberian kata-kata semangat daripada guru dan wakil PIBG kepada murid-murid tahun 6.


YDP PIBG dan Mantan YDP PIBG bersalaman dengan ibu bapa.


Semua calon UPSR SK Ampang Campuran bersalaman dengan ibu bapa mereka.

Akhir sekali penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak sekolah terutamanya kepada guru besar, cikgu Norhayati dan semua guru-guru kerana menganjurkan majlis yang cukup bermakna ini. Penulis dan semua ibu bapa mendoakan, semoga semua calon-colon UPSR di SK Ampang Campuran mendapat keputusan yang cemerlang... insyaallah...

Tiada ulasan: