Khamis, 18 September 2008

Personaliti Pilihan


Aku terpilih sebagai personaliti pilihan majalah syarikat untuk bulan Jan - Mac 2006


1. Apakah yang menjadi pencetus mengubah kerjaya sebagai Pereka Grafik setelah lima tahun berkhidmat di bidang keselamatan?

Pada asalnya, melukis adalah hobi yang paling saya minati. Bagi saya, kerjaya sebagai Pengawal Keselamatan  di DBP pada waktu itu hanyalah sementara sahaja memandangkan pada waktu tersebut agak sukar untuk mendapatkan pekerjaan.

Kebetulan pada 1995 ada kekosongan jawatan di Bahagian Reka Benuk DBP. Di atas galakan rakan-rakan, saya telah menghadiri temuduga tersebut dan berjaya dalam ujian melukis. Saya seterusnya diterima sebagai pelukis bagi buku judul am. Rasa gembira memang tidak terkata kerana dengan kerjaya baru ini saya dapat mengembangkan lagi bakat dalam bidang lukisan.

Saya memang minat melukis sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya turut mendapat galakan untuk terus melukis dari keluarga dan rakan-rakan.

2. Pengalaman suka dan duka sepanjang perkhidmatan.

Pengalaman paling menyiksakan ialah apabila komputer yang digunakan untuk membuat buku teks KBSR telah rosak dan fail yang sedang diusahakan hilang dari komputer tersebut walhal tarikh akhir serahan ke Bahagian Buku Teks sudah dekat. Saya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi pada waktu itu. Akhirnya dengan bantuan rakan dari Bahagian Teknologi Maklumat, fail tersebut berjaya ditemui  semula empat hari kemudian.

Selain daripada itu, pengalaman berhadapan dengan pihak editor DBP kadang kala meninggalkan kesan yang kurang menyenangkan tetapi itulah diantara asam garam yang perlu ditempuhi sebagai pereka grafik.

Pengalaman yang paling manis pula, dengan kuasa Allah, buku daripada fail yang bermasalah itulah telah membawa kemenangan Anugerah Reka Bentuk Terbaik Buku Teks tahun 2005 baru-baru ini. Tidak tergambar perasaan di hati di waktu itu. Hanya Allah saja yang tahu. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil lagi Maha Kaya.

Namun anugerah tersebut bukanlah kemuncak kerjaya saya. InsyaAllah, saya akan terus membaiki kelemahan diri dan terus memberikan sumbangan yang terbaik untuk membantu memajukan syarikat dalam bidang kerja yang berkaitan.

3. Apakah perasaan ketika mendapat berita Bahagian Reka Bentuk akan diswastakan?

Terus terang saya katakan, memang agak takut sedikit pada ketika itu sebab ketiadaan maklumat yang sahih berkenaan dengan penswastaan. Banyak (perkara) yang negatif timbul dalam fikiran terutama yang melibatkan kerjaya. Ramai yang kata, swasta ini senang hendak buang (kerja) orang. Manfaat yang dinikmati selama menjadi kakitangan kerajaan pun belum tentu akan terjamin.

Saya rasa waktu itu, semua orang pun tidak senang duduk. Perasaan berbelah bagi. Kita tidak pasti sama ada penswastaan ini akan menjamin kerjaya dan masa depan kita atau tidak. Pada masa itu, kalau boleh, memang saya rasa tidak mahu pergi ke swasta. Tetapi kita hanya mampu merancang...

4. DBP vs Syarikat - apa perbezaan yang ketara?

Secara peribadi saya katakan, kemahiran saya banyak meningkat apabila kerjaya dengan syarikat. Di syarikatlah saya mula mengenal komputer dan di syarikatlah saya mula diberi kepercayaan untuk terlibat dengan penerbitan buku teks. Sebelum ini, tugas saya hanya melukis dan saya tidakmempunyai pengatahuan mengenai komputer dan perisiannya. Mungkin faktor bilangan komputer agak terhad pada masa itu menyebabkan saya tidak terdedah dengan penggunaannya selama berkhidmat di DBP. Alhamdulilah, berbekalkan dengan semangat ingin tahu dan dengan bantuan rakan-rakan, saya mampu untuk menguasai kemahiran menggunakan komputer walaupun belum sepenuhnya.

Namun, apabila syarikat mengambil alih Bahagian Reka Bentuk, mungkin terdapat keperluan mendesak untuk jawatan Pereka grafik di Unit Buku Teks, saya telah ditukarkan ke unit tersebut walaupun tanpa sebarang pengalaman dan pengatahuan mengenai penerbitan buku teks.

Rakan-rakan yang lain dan penyelia banyak membantu saya dalam hal ini. Saya juga turut melipatgandakan usaha dengan membuat rujukan buku-buku teks yang sedia ada. Di samping itu, bengkel-bengkel yang dihadiri turut membantu saya dalam memahirkan diri dalam teknik penerbitan buku teks ini.

Saya ingin mengambil kesempatan ini merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan syarikat kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk terlibat di dalam penerbitan buku teks walaupun dengan hanya latar belakang pengalaman kerjaya saya sebagai Pengawal Keselamatan dan pelukis buku judul am.

5. Nasihat kepada tenaga muda syarikat

Hargai apa yang ada. Kerjalah bersungguh-sungguh dan dengan penuh minat. Satu lagi, jangan mensia-siakan peluang yang ada.

Lima perkara yang lain tidak tahu mengenai diri:
  1. Memenangi banyak peraduan yang melayakan saya melancung ke beberapa buah negara.
  2. Setiap minggu saya akan keluar untuk menonton wayang.
  3. Setiap hari, saya akan menyertai sebarang peraduan yang diiklankan.
  4. Tempat makan kegemaran adalah di Velodrom, Cheras (lauk ayam kampung)
  5. Saya benci dengan orang yang tikam belakang.

Tiada ulasan: