Selasa, 15 Julai 2008

Beijing Dalam Kenangan


Penulis bergambar kenangan di laman Forbidden City


Penulis bergambar kenangan di Tiananmen Square

Kenangan ini telah berlalu lebih kurang lapan tahun yang lalu di mana aku mengikuti rombongan Badan Keluarga DBP pergi melancung ke Kota Beijing selama 6 hari 5 malam. Kami menggunakan perkhidmatan agensi pelancungan Wira Saujana yang diketuai oleh puan Khadijah. Kami berlepas dari KLIA pada jam 11 malam menggunakan penerbangan Singapore Airline. Kami transit sebentar di airport Changi, Singapore kemudian berlepas semula ke Beijing selama enam jam. Pada jam 8 pagi kami sampai di airport Beijing. Apabila di airport, peristiwa yang paling aku tidak dapat lupakan apabila dimaki oleh pegawai imigresen China kerana tidak mengisi borang memasuki negara tersebut. Aku memang tidak faham kerana dimaki dalam bahasa Cina. Cuma aku faham perkataan "lancau" sahaja... huhuh.


Penulis bergambar kenangan dengan amoi Beijing di hadapan Pusat Herba Beijing


Penulis menginap di hotel bertaraf empat bintang tetapi menerima layanan first class

Keluar sahaja dari airport Beijing kami terus berserapan pagi dan terus di bawa melawat Forbidden City atau Kota Larangan yang terletak di tengah bandar Beijing. Istana ini dikatakan mengambil masa 14 tahun untuk disiapkan dengan menggunakan 200.000 tenaga buruh. Di sinilah tempat tinggal Maharaja China yang dianggap Tuhan oleh rakyatnya. Di istana ini rakyat tidak dibenarkan masuk kecuali pembesar istana dan gundik. Pada Dinasti Ming dan Qing, Maharaja dikatakan mempunyai 1000 gundik, kerana terlalu ramai kadangkala Maharaja tidak berpeluang meniduri kesemuanya dan ada diantara gundik yang mencapai usia tua tetapi masih dara. Kemudian kami berjalan kaki ke Tiananmen Square sejauh empat kilometer. Cuaca yang sejuk, apabila berjalan jauh tidak berpeluh dan tidak terasa penat. Medan ini adalah kawansan larangan bagi penjaja-penjaja. Yang kelakarnya ada seorang penjaja yang degil menghampiri aku untuk menjual sarung tangan dan topeng. Oleh kerana aku memberinya duit besar dan tidak mempunyai wang baki maka penjaja tersebut telah meninggalkan kesemua barang jualannya untuk aku. Kebetulan pada masa itu polis sedang mengejar penjaja lain.


Penulis berada di dalam Masjid Naujie, masjid tertua di Beijing


Penulis bergambar kenangan di Tembok Besar Negeri China

Selepas keletihan berjalan kaki kami terus terus ke hotel untuk check-in hotel pula. Hotel di sana layanannya memang first class. Walaupun hotel penginapan kami cuma 3 atau 4 bintang sahaja tetapi layanan mengalahkan hotel yang bertaraf 5 bintang di negara kita. Setiap tingkat hotel disediakan penjaga untuk memberi perkhidmatan kepada kita seperti untuk mengambil air panas dan sebagainya. Bilik air di lobi pula mempunyai pekerja yang membuka pintu, membuka paip air dan menghulurkan tisu selepas kita menggunakan bilik air tersebut. Tetapi yang peliknya sarapan pagi cuma disediakan pau kosong, telur rebus dan juga ikan sungai masin.


Penulis dan rakan-rakan berada di dalam Silk Center untuk membeli-belah


Kebanyakkan penduduk Beijing menunggang basikal ke tempat kerja

Setelah makan tengah hari, sebelah petang kami ke pusat herba pula. Arghh!... bukan sahaja bebudak, tetapi kami orang dewasapun tidak suka tempat ini. Apabila ada dikalangan kami yang merungut kerana belum lagi dibawa ke tempat shopping, pemandu pelancung kamipun menjelaskan bahawa tempat-tempat ini memang wajib dilawati kerana sudah ditetapkan oleh kerajaan. Apapun, yang pasti pemandu pelancung dari agensi pelancungan dari negara China yang memandu kami sepanjang di sini mendapat komisyen daripada jumlah barangan yang kami beli.

Sebelah petang kami melawat ke Masjid Naujie. Inilah masjid tertua di Beijing. Kalau tidak silap umurnya melebihi 1000 tahun. Masjid ini terletak di Niu Jie. Aku sempat bersembahyang di masjid ini. Orang Islam di sini memang menghormati pelancung dari Malaysia. Disebabkan masa itu musim sejuk mereka menyediakan air panas untuk aku untuk mengambil wuduk. Di sekitar masjid ini, kebanyakkan penduduknya beragama Islam. Kebanyakkan kedai makan di sini diusahakan oleh Cina Muslim. Anda tidak perlu was-was untuk menjamu selera di sini. cuma masalahnya mereka tidak boleh berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. Kami semua terpak berbahasa isyarat sahaja. Pada sebelah malamnya kami menyaksikan persembahan acrobatik yang penuk aksi suspen dan mendebarkan.


Sanggupkah anda melepaskan hajat jika tandasnya tiada pintu?


Penulis dan rakan-rakan menikmati makanan lazat masakkan Cina


Penulis memakai baju Maharaja China bersama rakan-rakan

Keesokkan harinya kami melawat Tembok Besar Negeri China. Dikatakan tembok ini dibina untuk mempertahankan China Utara daripada Mongolia. Tembok ini dibina oleh seorang raja China, Qin Shi Huang. Tembok Besar China ini berukuran 6508 kilometer daripada Shanhaiguan hingga Lop Nurdi Barat. Menurut pemandu pelancung kami, sekurang-kurangnya dua hingga tiga juta askar mati untuk membina tembok ini. Selepas diberi penerangan, akupun cuba menaiki tangga tembok ini. Mencungap juga menaiki tangga sehingga terasa sukar bernafas. Hidung seperti sudah tersumbat kerana kedinginan yang sungguh mencengkam. Namun akhirnya sampai juga ke paras yang membolehkan aku mendapatkan sekeping kad sebagai bukti aku sudah mendaki Tembok Besar Negeri China ini.


Penulis sedang membeli-belah cenderamata di pasar Tianjin

Hari berikutnya kami di bawa bershopping di Jade dan Silk Center. Di sini boleh membeli sutera dan permaidani buatan tangan yang sangat cantik. Yang menariknya aku bertemu dengan sales girl yang boleh bertutur bahasa Malaysia dengan baik. Pada mulanya aku ingatkan dia berasal dari Malaysia tetapi katanya dia tidak pernahpun menjejakkan kaki ke Malaysia. Rupa-rupanya dia belajar bercakap bahasa Malaysia dengan pelancung-pelancung Malaysia yang ramai datang ke sana

Memang susah melihat motosikal di sini kerana di sekitar Beijing di mana penduduknya mengunakan basikal sebagai pengankutan utama. Aku rasa menaiki basikal ini merupakan exercise yang bagus kerana aku tidak pernah nampak penduduk mereka berperut borai. Jalan raya di sini sentiasa nampak tenang kerana tiada mat rempit seperti di Malaysia. Berlainan pula dengan tandas awam di Beijing. Tandas awam yang tidak berbayar, langsung tidak mempunyai pintu manakala tandas awam berbayar pula mempunyai pintu. Memang sudah menjadi budaya masyarakat mereka tidak menutup pintu ketika membuang air kecil dan besar. Tandas di sini juga tidak disediakan air. Kesian melihat rakan-rakan wanita terpaksa memabawa sebotol air untuk bersuci di tandas ini.

Sebenarnya banyak lagi tempat menarik yang telah kami lawati di Kotaraya Beijing ini cuma aku sudah lupa hendak menceritakannya kerana pengalaman ini sudah lama berlalu.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Sdr. Zul,

Bolehlah ceritakan pengalaman bahasa sdr. dalam majalah Dewan Bahasa.