Selasa, 30 November 2010

Sukan Asia Guangzhou

Penulis dan rakan-rakan Famemas bergambar kenangan di hadapan bangunan Guandong Folk Arts Muuseum.

Sukan Asia Ke-16 telah berlangsung di bandar raya Guangzhou dari 12 hb hingga 27hb November 2010 yang lalu. Kami dari rombongan “Kelab Penyokong Malaysia” anjuran kelab Famemas Malaysia telah berada di bandar raya selatan negara China ini, selama seminggu untuk memberi sokongan moral kepada atlit Malaysia yang sedang bertanding di Sukan Asia.

Penulis berpendapat, Sukan Asia Guangzhou kali ini merupakan temasya sukan yang memaparkan pelbagai budaya di Asia di samping mementingkan pembangunan yang berterusan. Sukan Asia Ke-16 Guangzhou merupakan Sukan Asia yang paling banyak menawarkan acara sukan. Selain 28 acara sukan yang dipertandingkan dalam Sukan Olimpik Beijing, tuan rumah juga telah menambah 14 acara sukan yang amat popular di rantau Asia untuk menarik penyertaan lebih ramai atlet dari pelbagai negara Asia.

Pihak penganjur Sukan Asia Guangzhou, memberitahu bahawa sepak takraw adalah antara 14 acara sukan tersebut. “Walaupun sepak takraw bukan acara sukan Olimpik Beijing, tetapi ia ditetapkan sebagai acara yang dipertandingkan dalam Sukan Asia Guangzhou. Acara sepak takraw mempunyai enam kategori termasuk berpasukan lelaki dan wanita serta beregu lelaki dan wanita.

Seawal bulan Januari 2008, penganjur Sukan Asia Guangzhou telah memperkenalkan promosi acara sepak takraw dengan kerjasama Persatuan Sepak Takraw China. Pangkalan latihan sepak takraw telah ditubuhkan di Sekolah Menengah No.3 di Guangzhou untuk mempopularkan acara sukan ini. Usaha ini membolehkan penduduk Guangzhou lebih memahami kebudayaan yang wujud di Asia Tenggara.”

Untuk menonjolkan keistimewaan dan keunikan negara-negara Asia, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Guangzhou telah mengadakan siri program kebudayaan dalam tempoh persiapan temasya sukan ini. Selain itu, pelbagai pameran dan persembahan kebudayaan sedang berlangsung di Sukan Asia Guangzhou kali ini.Di samping memaparkan pelbagai budaya di Asia, tuan rumah Sukan Asia Guangzhou juga mementingkan pembangunan secara berterusan dalam pembinaan dan reka bentuk kemudahan sukan.

“Pembangunan sukan yang seimbang di pelbagai kawasan di Guangzhou telah diambil kira dalam persiapan temasya sukan ini. Venue-venue untuk pertandingan dan latihan yang bertaburan di 10 daerah dan dua pekan di Guangzhou. Sementara itu, stadium yang sedia ada juga dimanfaatkan. Antara 70 venue Sukan Asia Guangzhou, hanya 12 venue sahaja yang baru dibina. Kesemua 12 stadium sukan ini bertaburan di daerah yang kekurangan kemudahan sukan sebelum ini. Dengan mengambil kira pelan pembangunan bandar raya Guangzhou, Pekan Sukan Asia Guangzhou yang mengandungi perkampungan atlet, perkampungan juruteknik, perkampungan anggota media, pusat penyiaran antarabangsa serta pusat media telah dibina di kawasan baru. Selepas Sukan Asia Guangzhou berakhir, kawasan ini akan dijadikan kawasan perumahan yang mempunyai persekitaran baik dan kemudahan yang lengkap.”

Difahamkan, teknologi mesra alam telah digunakan dalam pembinaan venue-venue Sukan Asia Guangzhou, terutamanya Gimnasium Pekan Sukan Asia Guangzhou. Seramai 14 ribu atlet dan pegawai sukan, 4500 juruteknik serta 9500 anggota media dari 45 negara dan kawasan di Asia telah menyertai Sukan Asia Guangzhou yang telah dinanti-nantikan oleh semua rakyat Asia. Temasya sukan ini telah berlangsung dengan jayanya.

Tiada ulasan: