Selasa, 20 Disember 2011

Memori Sukan Sea Palembang

Walaupun acara sukan di Sukan Sea Jakarta lebih menarik seperti badminton dan bolasepak, oleh kerana faktor keselamatan, kami memilih ke Sukan Sea Palembang, Indonesia. Penulis dan rakan-rakan ke Palembang untuk menyokong atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Sea Indonesia. Sudah tentunya anda semua telah maklum, masyarakat di Jakarta sangat fanatik terhadap sukan dan mereka tidak sukakan kita, orang Malaysia. Ini semua akibat dari laporan negetif dari media-media negara mereka sendiri. Namun begitu kami yang ke Palembang tetap merasa bimbang jika masyarakat di sana juga tidak sukakan kami, orang Malaysia.

Penulis dan rakan-rakan bersorak bersama atlit Ski Air.

Penulis dan rakan-rakan ketika menyokong atlit angkat berat negara.

Alhamdulillah, setibanya kami di bumi Palembang, kami disambut dan dilayan dengan mesra oleh masyarakat di sana. Kami terima layanan baik, mungkin kerana masyarakat Melayu agak ramai di sana. Bahasa dan budaya mereka hampir sama dengan masyarakat Melayu di negara kita. Kami yang memakai baju rasmi Malaysia iaitu bercorakkan belang Harimau, kami bebas melawat dan membeli belah di tengah-tengah kotaraya Palembang. Di mana-mana sahaja kami berada, pastinya mereka akan menjerit “pakcik-pakcik! Upin dan Ipin” kepada kami. Sememang drama kartun animasi kanak-kanak, Upin dan Ipin ini sangat popular di Indonesia sekarang. Jeritan mereka itu membuatkan kami amat berasa bangga kerana, walaupun mereka tidak sukakan kita, tetapi produk negara kita sangat diminati di negara mereka.

Penulis dan rakan-rakan bersama Ketua Pengarah MSN selepas sidang akhbar.

Rakan penulis sedang berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku, tetapi lihatlah penonton di belakang tidak berdiri dan tidak menghormati lagu kebangsaan negara lain.

Cuma agak menghairankan kenapa sebahagian dari mereka seolah-olah tidak menghormati lagu kebangsaan negara-negara Asean yang bertanding di Sukan Sea kali ini. Sebahagian dari mereka tidak bangun dan berdiri semasa lagu kebangsaan negara-negara Asean lain sedang berkumandang. Sungguh mengecewakan, apabila lagu “Negaraku” sedang berkumandang, mereka bukan sahaja tidak berdiri malah bersorak (boo) seolah-olah menpersendakan lagu kebangsaan negara kita. Penulis dapati bukan sahaja yang dewasa sahaja tidak berdiri malahan murid-murid sekolah yang memakai pakaian seragam juga turut sama. Sudah banyak negara yang menganjurkan Sukan Sea yang penulis telah kunjungi. Tetapi, suasana di Sukan Sea Indonesia ini amat berbeza sekali.

Banner Team Malaysia di Stadium Olahraga.

Di lapang sasar menembak. Di sini kami tidak boleh bersorak.

Namun begitu, kami memuji kepada pihak penganjur kerana menyediakan pasukan sorak untuk setiap negara Asean yang bertanding. Mungkin pihak penganjur hendak memeriahkan suasana sukan yang terbesar di Asean yang dianjurkan dua tahun sekali ini. Hampir 150 orang murid sekolah yang menyertai kami untuk menyokong dan bersorak. Mereka kelihatan gembira dan begitu ceria sekali ketika bersorak bersama-sama kami. Cuma yang tak bestnya, mungkin ada pihak tertentu yang mengapikan budak-budak ini, mereka meminta duit selepas bersorak bersama kami. Jika seorang dua tidak mengapalah juga, tetapi ini hampir 150 orang, manalah kami mampu. Mungkin mereka sangka kami orang Malaysia banyak duit. Tetapi pada hakikatnya, duit makan kami pun tidak lepas he.. he... Kamipun mengharapkan ada pihak tertentu yang sudi menaja kami makan hahahhaha. Sebagai tanda terima kasih kami hanya mampu belanja mereka minum sebotol Teh Botol setiap seorang.

Penulis dan rakan-rakan meraihkan pingat emas yang ke 40 bersama atlit Ski Air negara.

Penulis dan rakan-rakan menyokong atlit Renang Berirama Malaysia.

Banyak media yang mengatakan penganjuran Sukan Sea kali ini adalah yang terburuk dalam sejarah. Mereka mendakwa banyak kelemahan dari segi kemudahan dan layanan. Mungkin itu untuk media, atlit dan pegawai sukan sahaja. Tetapi, tidak bagi penyokong seperti kami. Malahan kami amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak penganjur kerana menyediakan perhikmadtan kenderaan (bas, van dan beca) percuma di dalam Kompleks Sukan Jakabaring yang luas. Walaupun ramai yang bersunggut kerana van nya yang agak usang dan beca yang sempit, namun kami amat berterima kasih kerana tidak berjalan kaki dari venue ke satu venue yang lain, seperti di Sukan Sea Laos yang lalu. Jika tidak, pastinya sungguh memenatkan dan kaki kami ada yang melecet ooo...

Penulis dan rakan-rakan kelab.

Terima kasih kepada murid-murid sekolah Palembang yang bersama-sama kami menyokong atlit Malaysia yang bertanding di Sukan Sea kali ini.

Pada hari terakhir, kami tidak ke mana-mana kerana pada hari tersebut seluruh Indonesia bermuram kerana pasukan bolasepak mereka telah kalah kepada Malaysia. Bimbang sesuatu yang buruk akan terjadi, kami hanya berkemas barang dan berehat di hotel sahaja. Disebelah petangnya kami terus bertolak ke airport untuk pulang ke tanah air. Pengalaman menarik di Palembang memang sukar penulis dilupakan. Terima kasih kepada masyarakat Palembang. Semoga kita ketemu lagi.

Tiada ulasan: