Rabu, 21 Disember 2011

Terima Kasih...

Penulis masih hendak bercerita tentang Palembang lagi he..he.. Secara jujurmya penulis amat senang sekali ketika berada di Palembang. Walaupun kami di sorak/boo semasa semasa berada di dalam stadium tetapi berbeza sekali apabila di luar stadium. Mereka begitu mesra bersama kami. Mereka sering kali mengajak kami berbual tentang pemain bolasepak Malaysia iaitu Safee Sali. Mereka juga bertanya watak-watak kartun animasi Upin dan Ipin. Kami begitu senang sekali dengan masyarakat Palembang. Walaupun ada seorang dua yang cuba provakasi dengan menunjukkan isyarat lucah dan menjerit “Ganyang Malaysia”. Tetapi, kami tidak melayan mereka. Kami buat tidak tahu sahaja. Pada keseluruhanya masyarakat Palembang tiada masalah dengan kami.

Penulis dan masyarakat Palembangdi Jambatan Ampera.

Penyambut tetamu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin, Palembang.

Terima kasih diucapkan kepada dua orang gadis manis penyambut tetamu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Badaruddin, Palembang yang menyambut kami dengan begitu mesra sekali. Gadis manis ini yang mahir berbahasa melayu kerana pernah belajar di Universiti Malaysia Terengganu selama 4 tahun. Sementara menanti ketibaan bas, beliau membawa kami ke bilik menunggu dan dihidangkan makanan dan minuman ringan. Gadis manis ini juga yang menyambut kami di lapangan terbang ketika kami hendak pulang ke tanah air. Beliau melayan kami dari kuanter Air Asia sehingga ke kuanter imigresen.

Mereka begitu mesra menyambut kedatangan kami.

TokMo menerima rawatan dari pembantu perubatan.

Sepanjang berada di Palembang, kebanyakkan daripada kami mengalami demam panas yang agak serius. Ini mungkin disebabkan cuaca yang tidak menentu seperti cuaca yang sangat panas dan hujan panas turun secara tiba-tiba. Sering kali kami dilanda hujan panas yang mungkin menyebabkan kami demam. Mujurlah pihak penganjur menyediakan bilik rawatan di setiap venue. Bilik rawatan yang dilengkapi dengan pegawai perubatan, alatan dan ubat-ubatan yang mencukupi. Alhamdulillah pegawai perubatan tersebut merawat rakan-rakan penulis dan diberikan ubat secara percuma. Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur.

TokMo dan doktor di bilik rawatan di Kompleks Sukan Jakabaring.

Kami mendapat tempat duduk yang selesa.

Terima kasih juga kepada pihak penganjur kerana menyediakan tempat duduk khas untuk kami semasa berada di dalam stadium. Sebenarnya tempat duduk khas ini untuk pegawai dan atlit sahaja. Tetapi, oleh kerana kami mempunyai name tag khas Sukan Sea, kami dibenarkan duduk di tempat khas itu. Tempat duduk khas ini memang selesa kerana telah diasingkan dengan penyokong lain terutama penyokong tuan rumah yang memenuhi setiap ruang di dalam stadium. Oleh kerana tempat duduk khas ini banyak ruang kosong, membuatkan kami lebih selesa untuk menonton acara sukan yang dipertandingkan. Kami juga lebih bebas untuk mengantung sepanduk, mengibar Jalur Gemilang, bersorak, menyanyi dan bermain bunyi-bunyian seperti kompang dan drum.

Kami dapat bersorak dengan selesa.

Pak Baim pemandu bas kami.

Terima kasih juga diucapkan kepada pemandu bas kami, Pak Baim. Beliau terpaksa melayan kerenah kami yang hendak ke tempat-tempat menarik, tempat-tempat membeli belah yang murah dan mencari restoran yang makanan yang enak tetapi murah. Pernah sekali Pak Naim dimarahi oleh polis trafik kerana basnya menghalang lalu lintas akibat menunggu terlalu lama rakan-rakan penulis yang membeli belah. Pak Baim terpaksa mengelilingi bulatan lebih 10 kali kerana terpaksa menunggu rakan-rakan penulis habis membeli belah. Namun begitu, Pak Baim sedikitpun tidak bersunggut malah sentiasa tersenyum. Pada malam terakhir bas hampir dibaling oleh penyokong Indonesia yang kecewa dengan kekalahan pasukan bolasepak mereka. Mujurlah Pak Baim sempat melarikan diri dan menanggalkan sepanduk dan bendera Malaysia yang ditampal didinding basnya

Pak Baim pemandu yang berhemah.

Menaiki beca yang agak sempit.

Ada 350 orang penarik beca yang berada di dalam kawasan Kompleks Sukan Jakabaring ini. Tugas mereka membawa pegawai-pegawai sukan, kakitangan media dan para atlit ke venue-venue yang hendak mereka kehendaki.Oleh kerana kami sering bertukar-tukar venue, becalah menjadi pilihan utama. Ramai rakan-rakan media yang bersunggut kerana tempat duduk beca ini sempit. Penulis sendiri terasa sakit urat leher kerana terpaksa menudukkan kepala akibat bumbungnya yang rendah. Namun begitu, mereka sedia membawa kami ke mana-mana venue yang dikehendaki. Mereka sedikitpun tidak mengeluh kepenatan walaupun terpaksa mengayuh jalan yang agak jauh dan menolak beca apabila melalui jalan yang agak tinggi. Apakan lagi mereka terpaksa membawa penulis yang beratnya hampir 100 kilogram ini. Mungkin mereka tidak kisah dan bersemangat kerana upah hariannya agak lumayan berbanding pendapatan harian mereka. Terima kasih kepada penarik beca. Tanpa mereka, kami terpaksa berjalan kaki dari venue ke satu venue yang lain.

Penarik beca ini terpaksa menolak ketika melalui jalan yang agak tinggi.

Penulis bersama polis wanita yang comel.

Akhir sekali penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada anggota keselamatan terutama kepada anggota polis yang sentiasa menjaga keselamatan kami di sana. Apa yang mengharukan, ada anggota polis sedia mengiringi salah seorang rakan kami untuk membeli belah di Pasar 16, Palembang. Sehingga begitu sekali anggota polis ini menjaga keselamatan kami walaupun bandaraya Palembang sememangnya aman. Ketika kesesakan lalu lintas, anggota polis trafik sedia memberi laluan kepada kami untuk ke venue yang hendak di tuju. Anggota polis di sini begitu peramah, yang kelakarnya, setiap kali kami berbual, mereka pasti bertanyakan watak-watak di dalam kartun animasi Upin dan Upin. Ha...ha.. tidak sangka pula, anggota polis juga meminati Upin dan Upin, ingatkan untuk kanak-kanak sahaja.


Tiada ulasan: