Jumaat, 9 Mei 2014

Pekena Rojak Mamak Bandar Tun Razak

Selepas membayar pelbagai bil di Pos Malaysia, perut penulis terasa lapar. Semasa dalam perjalanan pulang, penulis ternampak sebuah gerai mamak. Sebuah lori/gerai bergerak yang berniaga rojak dan cendol di tepi jalan. Penulispun singgah untuk mengisi perut.
Tauke gerai mamak rojak sibuk melayan pelanggannya.
Yang menariknya, sebelum penulis mematikan enjin motosikal untuk parking motosikal, mamak itu sudah bertanya kepada penulis “encik mau makan ke bungkus?” penulis jawab “makan". Mamak itu bertanya lagi “encik mau makan rojak biasa atau sotong? penulis kata “nanti, biarkan saya duduk dulu”. Pergh.... begitu hebat sekali layanan mamak tersebut terhadap pelanggannya.
Warung mamak sebelum waktu puncak.
Sementara menanti pesanan tiba, penulis sempatlah merakamkan beberapa keping gambar menarik di gerai ini. Jom! kita layan gambar suasana menarik gerai rojak di Bandar Tun Razak ini yang pelanggannya terdiri dari berbagai bangsa.

Pekerja sedang membuat rojak.
Penulis sampai sebelum lunch time jadi, rojak dan cendolnya masih banyak lagi. Jika penulis datang di waktu puncak, khabarnya semua tempat duduk akan dipenuhi dengan pelanggan-pelanggannya. Pelanggannya memang ramai diwaktu lunch time. Oleh itu, tidak hairanlah tauke mamak ini ada lima orang pekerja. Dua orang lelaki dan tiga orang perempuan.
Rojak Sotong.
Siapa yang sukakan rojak dan cendol mamak? Jika ada rojak mamak mesti ada cendol. Rojak dan cendol memang saling melengkapi. Jika disebut rojak dan cendol, pelbagai bangsa dan kaum mengemari makanan ini. Makanan seperti rojak ini ada pelbagai jenis tetapi rojak mamak juga yang digemari orang ramai.
Cendol.
Mamak ini sudah lama berniaga di sini. Cuma ini kali pertama penulis singgah ke gerai ini. Rojaknya menjadi tumpuan orang ramai kerana rasanya yang sedap. Rojak ini menjadi sedap kerana dilengkapi dengan ramuan seperti cucur udang, tauhu, taugeh, telur rebus, sengkuang dan timun. Tetapi, bahan utama yang menjadi tarikan orang ramai ialah kuahnya.
Gerai Rojak Mamak di Bandara Tun Razak.
Kepada anda yang belum mencuba, jom lah singgah ke Bandar Tun Razak. Bersebelahan dengan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur atau berhadapan dengan Sekolah Sains Selangor. Dilain hari, penulis bercadang hendak makan Rojak Sotong dan Cendol di sini lagi. Tidak puas rasanya makan makan rojak itu hari. Harga untuk Rojak Sotong dan Cendol cuma RM 8.00 sahaja.

Tiada ulasan: