Isnin, 9 Jun 2008

39 tahun dahulu


Rumah pusaka ini penulis di lahirkan pada 39 tahun yang lalu

Aku dilahirkan pada malam 20hb Febuari 1969, kira-kira 39 tahun dahulu di sebuah rumah kampung di Tali Ayer 13, Sungai Besar, Selangor Darul Ehsan. Kami dari kalangan keluarga Banjar yang serba sederhana, tidaklah senang dan tidaklah susah sangat. Ayah merupakan seorang pesawah manakala ibu merupakan surirumah sepenuh masa dan kadang-kala ibu membantu ayah di sawah. Aku merupakan anak bungsu daripada tujuh adik-beradik. Aku mempunyai seorang abang dan lima orang kakak. Pada tahun 1972, kakak aku yang nombor dua telah meninggal dunia kerana melahirkan anak sulungnya.

Aku hanya sempat bermanja dengan ibu sehingga berumur empat tahun sahaja. Pada tahun 1973, ibu telah pulang kerahmatullah kerana terpijak paku yang berkarat ketika menyapu sampah di halaman rumah. Akibat terlewat mendapat rawatan, racun atau bisa paku yang berkarat tersebut telah melarat dan kaki ibu semakin membengkak dari hari ke hari. Oleh kerana bengkak kaki ibu semakin teruk, ayah menghantar ibu ke sebuah klinik di pekan Sungai Besar yang jauhnya kira-kira tujuh batu dari rumah kami. 

Oleh kerana penyakit ibu semakin serius, doktor di klinik tersebut telah menghantar ibu ke hospital daerah Tanjung Karang yang jauhnya lebih kurang dua puluh batu lagi untuk rawatan selanjutnya. Takdir penentu segalanya, ibu telah menghembuskan nafas terakhirnya  di hospital tersebut.... Al-Fatihah. Semenjak dari itu aku menjadi anak yatim..... huhuhhhh

Tiada ulasan: