Selasa, 10 Jun 2008

Aku jadi anak yatim piatu


Penulis bersama Kak Nor dan Kak Non

Semasa aku di darjah lima pada tahun 1980, ayah sering kali sakit. Ayah sentiasa berulang-alik ke hospital Tanjung Karang kerana merawat penyakit darah tingginya. Pada suatu hari tekanan darah ayah bertambah serius dan ayah kena tahan di wad untuk rawatan yang lebih rapi. Makcik Isau (ibu tiri) sentiasa menemani ayah semasa berada di wad. Setelah berapa minggu di wad, akhirnya Allah lebih menyayangi ayah. Ayah telah pulang ke rahmatullah di hospital ini. 

Aku menerima berita sedih ini semasa di dalam kelas darjah lima. Cikgu Ramli, guru kelas aku ketika itu memyampaikan berita sedih ini. Beliau memberikan kata-kata semangat serta mengucapkan takziah dan meminta aku mengemas beg dan dibenarkan pulang dengan segera.... Al-Fatihah.... Amin... Jenazah ayah di bawa ke rumah abangnya di Simpang Lima untuk disembahyangkan dan disemadikan di perkuburan Sungai Nibung.

Walaupun ayah telah tiada, kami masih lagi tinggal sebumbung dengan makcik Isau (mak tiri) dan anaknya adik Ramli. Apa yang paling menyedihkan, adik Ramli yang berumur tiga tahun ketika itu asyik bertanya "ayah mana mak?". Aku yang berumur sebelas tahun ketika itu turut menitiskan air mata kerana terlalu sedih. Mulai hari itu kami telah digelar sebagai anak yatim piatu. Sememangnya adik Ramli sungguh manja dengan arwah ayah. Semasa arwah ayah masih hidup, Arwah ayah sering membawa adik Ramli bersiar-siar mengelilingi kampung mengunakan basikal dan motosikalnya. Kehilangan ayah amat terasa buat adik Ramli.

Selang beberapa bulan makcik Isau sering kali pulang ke kampungnya di Perak sehingga berhari-hari dan kami memasak sendiri di rumah. Kadang-kala kakak menghantar lauk-pauk ke rumah kami. Hal ini menyebabkan perselisihan faham antara makcik Isau dan kakak-kakak aku sehinggalah berlakunya satu pertengkaran kecil. Akibatnya, makcik Isau telah merajuk dan pulang terus ke kampungnya.

Selepas Makcik Isau pulang ke kampungnya, aku tinggal bersama kak Non di Sungai Nibung manakala abang aku tinggal bersama kak Minah di Tali Ayer 14, Simpang Lima, Sungai Besar, Selangor.

Tiada ulasan: